SP Satu menang tipis ke atas Komersial

SP Satu menang tipis ke atas Komersial

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – SP Satu Yunait-Ideu menambah kemenangan mereka hari ini apabila berjaya menewaskan Komersial United 3-2 dalam perlawanan bola sepak Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan anjuran Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di Padang Bolasepak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas.

Perlawanan tersebut merupakan perlawanan ketiga SP Satu Yunait yang sebelum ini beroleh satu menang dan satu seri, dan yang keempat buat Komersial United di kejohanan tersebut yang sebelum ini beroleh satu kemenangan sahaja dan selebihnya tewas.

Di perlawanan tersebut, SP Satu Yunait-Ideu telah mendahului perlawanan pada minit ke-24 yang dijaringkan oleh Awang Mashairol Rizal bin Ibrahim. Keputusan 1-0 tersebut kekal hingga separuh masa pertama berakhir.

Pada separuh masa kedua, perlawanan semakin rancak apabila pada minit ke-15, Awang Hasrul bin Matamit daripada SP Satu Yunait-Ideu telah mengukuhkan pendahuluan menjadi 2-0.

Di antara aksi-aksi ketika perlawanan tersebut berlangsung. - Gambar oleh Shahril Hadiman
Di antara aksi-aksi ketika perlawanan tersebut berlangsung. – Gambar oleh Shahril Hadiman

Empat minit selepas itu, SP Satu Yunait-Ideu semakin selesa mendahului perlawanan apabila Awang Roslini bin Haji Kahar menambah jaringan menjadi 3-0 melalui tendangan jarak jauh.

Namun, Komersial United tetap tidak berputus asa dan akhirnya berhasil mendapatkan gol mereka yang dijaringkan oleh Awang Azwan bin Haji Matasim pada minit ke-21 separuh masa kedua.

Lim Sun Hui daripada pasukan Komersial United menambah lagi jaringan menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-30 apabila bola yang ditendang oleh salah seorang pemain mereka ditepis oleh penjaga gol SP Satu Yunait-Ideu, bagaimanapun berjaya disambut oleh Lim Sun Hui yang kemudian terus merembat masuk bola ke gawang SP Satu Yunait-Ideu.

Perlawanan semakin tegang pada masa-masa terakhir apabila Komersial United cuba untuk menyamai kedudukan melalui serangan bertubi-tubi dan SP Satu Yunait-Ideu terpaksa mempertahankan pendahuluan mereka sehinggakan Awang Suparman bin Haji Madon dilayangkan kad kuning kerana mengasari Awang Azwan pada minit ke-34 separuh masa ke-dua.

Komersial United bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan 3-2 memihak kepada SP Satu Yunait-Ideu apabila pengadil perlawanan meniupkan wisel bagi menandakan tamatnya perlawanan tersebut.

Perlawanan yang seterusnya ialah di antara SPS United dengan CP2 pada 22 Januari ini, pada jam 4:30 petang di tempat yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA