SPA Temburong juara Peraduan Masrahiah Arabiah

SPA Temburong juara Peraduan Masrahiah Arabiah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Sekolah Persediaan Arab (SPA) Temburong telah diumumkan sebagai juara Peraduan Masrahiah Arabiah yang diadakan buat kali ke-6, dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Radio Televisyen Brunei (RTB), di ibu negara kelmarin.

Sementara itu, pasukan dari SPA Bandar Seri Begawan (BSB) menduduki tempat kedua dan diikuti pasukan dari Sekolah Arab Sungai Akar di tempat ketiga.

Dalam pertandingan yang dianjurkan bersama Jabatan Pengajian Islam dan Radio Televisyen Brunei ini, pasukan SPA BSB turut memenangi hadiah Skrip Terbaik.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Menurut kenyataan penganjur, sebelum ini peraduan berkenaan dikenali sebagai Peraduan Mari Bercerita dalam Bahasa Arab bagi Sekolah-sekolah Arab namun pada 2013 ia diubah kepada Masrahiah Arabiah yang bermaksud Sketsa Dalam Bahasa Arab yang diperkenalkan dan dikembangkan kepada beberapa buah sekolah agama dan swasta.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan hadiah utama kepada Guru Pembimbing SPA Temburong.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan hadiah utama kepada Guru Pembimbing SPA Temburong.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan hadiah bagi skrip terbaik.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan hadiah bagi skrip terbaik.
Barisan peserta Sekolah Persediaan Arab Temburong yang diumum juara Peraduan Masrahiah Arabiah.
Barisan peserta Sekolah Persediaan Arab Temburong yang diumum juara Peraduan Masrahiah Arabiah.

Antara tujuannya adalah untuk menyuntik minat pelajar-pelajar bertutur dalam Bahasa Arab, membiasakan dan membudayakan pelajar bertutur dalam Bahasa Arab sebagal bahasa komunikasi dan memperkasa penggunaannya di peringkat persekolahan serta memberigakan aktiviti pelajar yang berpaksikan Bahasa Arab.

Dalam ucapannya pada majlis itu, tetamu kehormat majlis berkata peraduan seperti ini boleh digunakan sebagai satu strategi untuk memupuk dan mendorong minat para pelajar melazimkan diri berbahasa Arab di samping strategi pengajaran yang berpusat kepada pelajar.

“Saya percaya, ia juga memberikan peluang kepada pelajar untuk menerokai kemahiran berbahasa menerusi aktiviti lakonan dan para guru pula dapat mengenal pasti kesukaran yang dihadapi oleh para pelajar dalam kemahiran bertutur daripada aspek perbendaharaan kata, sebutan huruf dan tatabahasa,”ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapan supaya melalui peraduan ini akan dapat memperkayakan perbendaharaan kata baru, membetulkan sebutan huruf dan mengesan penggunaan tata bahasa dalam pertuturan bagi meningkatkan kebolehan bertutur para pelajar.

Menurutnya, kemampuan bertutur ini mampu menarik minat pelajar dan boleh untuk diaplikasikan dalam pembelajaran melalui keterlibatan pelajar dalam kelas menggunakan komunikasi lisan.

Sebelas buah sekolah lain yang turut menyertai peraduan berkenaan adalah Ma’had Islam Brunei, Sekolah Al-Falah, Sekolah Arab Belait, Sekolah Ugama Pelambayan, Sekolah Ugama Lambak Kanan, Sekolah Ugama Orang Kaya Besar Imas, Sekolah Ugama Jerudong, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Sekolah Ugama Tumpuan Telisai, Sekolah Ugama Sungai Liang dan Sekolah Ugama Puni.

ARTIKEL YANG SAMA