SpaceX selamat mendaratkan roket

SpaceX selamat mendaratkan roket

MIAMI, 6 Mei (AFP) – SpaceX berjaya mendaratkan peringkat pertama roket Falcon 9 di platform terapung di Lautan Atlantik pada awal hari ini selepas melancarkan satelit komunikasi Jepun di orbit.

Laungan “AS,AS,AS” dan tepukan daripada krew kawalan darat menyambut kejayaan itu, hanya kali kedua ia dicatat oleh SpaceX, syarikat yang diketuai oleh usahawan Internet Elon Musk.

Roket dua pentas itu berlepas seperti yang dijadual pada pukul 1:21 pagi dengan satelit komunikasi milik operator Jepun SKY Perfect JSAT.

Tatkala pentas kedua bergerak memasuki kedudukan orbit, pentas pertama kembali untuk pendaratan, memulakan enjinnya untuk memasuki semula atmosfera Bumi.

Roket Falcon 9 ketika dilancarkan dari stesen tentera udara Cape Canaveral. - AP
Roket Falcon 9 ketika dilancarkan dari stesen tentera udara Cape Canaveral. – AP

SpaceX tidak dijangka mendaratkan pentas pertamanya dengan berjaya disebabkan kelajuan tinggi roket yang kembali, namun video merakamkan pendaratan yang sempurna itu.

Syarikat yang berpangkalan di California itu melakukan pendaratan itu pada bulan lalu untuk kali pertama, setelah melancarkan sebuah kapal kargo di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.

SpaceX mahu menyempurnakan teknik itu sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menggunakan semula alat ganti roket dan bukannya membuang peralatan mahal itu di lautan selepas setiap pelancaran.