Spartak tekad bangkit

Spartak tekad bangkit

MOSCOW, 5 Ogos – Kelab Rusia paling berjaya Spartak Moscow yang mengungguli liga dengan perbezaan jaringan, berharap untuk bangkit kembali daripada kegagalan Liga Europa pada pertengahan minggu apabila menghoskan Samara Isnin ini.

Spartak, yang tersingkir dari Eropah selepas tewas 2-1 menerusi agregat kepada AK Larnaca dari Cyprus, sebaliknya membuat persediaan dengan menewaskan Arsenal Tula 4-0 dalam perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Rusia hujung minggu lalu. Tetapi bekas juara Rusia sembilan kali itu tidak akan memandang remeh pasukan Samara.

Pengurus Spartak, Dmitry Alenichev berang selepas menyaksikan pasukannya bolos lewat dalam Liga Europa dan berkata dia menjangka para pemainnya untuk membuat pendekatan menentang Samara dengan tumpuan sepenuhnya.

“Ia memalukan, tidak ada yang lain,” kata Alenichev selepas kekalahan 1-0 semalam. “Saya mahu memohon maaf. Ia kesilapan saya. Tetapi kehidupan perlu diteruskan dan sekarang kami perlu bersedia bagi perlawanan seterusnya. Saya berharap menentang Samara, kami akan bermain lebih berdisiplin dan bola sepak yang kreatif.”

Sementara itu, pasukan tangga kedua musim lalu, Rostov, juga perlu untuk menukar kembali fokus mereka kepada aksi domestik selepas kejayaan Liga Juara-Juara mereka apabila mereka menghadapi Ural Yekaterinburg Ahad ini.

Di Brussels Rabu lalu, Rostov menewaskan gergasi Belgium Anderlecht 2-0 untuk mara ke pusingan play-off Liga Juara-Juara selepas menang menerusi agregat 4-2.

“Kami puas hati selepas tugasan dijalankan dengan baik,” ketua jurulatih Rostov, Kurban Berdyev memberitahu laman web kelab itu. “Ia kejayaan yang berharga bagi kelab, peminat kami dan bandar.”

Tetapi Rostov, yang mengalami masalah kewangan musim lalu dan gagal mengukuhkan barisan utama dengan pemain baru, perlu beraksi pada kedudukan terbaik menentang Ural, yang juga bermula dengan kemenangan dalam kempen baru. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA