‘Spatial disorientation’ punca pesawat pejuang Gripen terhempas

BANGKOK, 11 Jan – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) membuat kesimpulan bahawa “Spatial Disorientation” adalah punca satu daripada pesawat  pejuangnya jenis Gripen 39C terhempas semasa pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kanak-kanak di Hatyai pada 14 Jan tahun lepas.

Jurucakap RTAF Naib Marsyal Udara Pongsak Semachai dalam satu kenyataan hari ini berkata kesimpulan itu diperoleh selepas siasatan dijalankan oleh RTAF, Defence Materiel Adminstration (FMV), Sweden dan Saab, pengeluar pesawat pejuang  tersebut.

“Siasatan mendapati pesawat itu tidak mengalami masalah sementara juruterbangnya juga merupakan juruterbang yang cukup terlatih. Nahas itu mungkin berpunca daripada “Spatial Disorientation”, iaitu situasi  force majeure,” kata beliau sambil menambah “spatial disorientation” boleh berlaku kepada mana-mana juruterbang.

“Spatial disorientation” merujuk kepada ketidakupayaan  seseorang untuk menentukan posisi tubuhnya dengan betul di ruang angkasa.

Juruterbang pesawat, Ketua Skuadron Dilokrit Pattavee, 34, dari Sayap 7 berpangkalan di Surat Thani terkorban apabila jet pejuang Gripen 39C terhempas semasa pertunjukan  udara yang disaksikan beratus-ratus kanak-kanak dan keluarga mereka yang  menonton pertunjukan udara itu.

RTAF mempunyai sebanyak 12 buah pesawat pejuang Gripen JAS39. – Bernama