SPDP: Polis perlu tegas tangani kongsi gelap

SPDP: Polis perlu tegas tangani kongsi gelap

BINTULU, 5 Julai (Bernama) – Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) mahu kegiatan kongsi gelap dibanteras berikutan kejadian terbaharu seorang ahli perniagaan mati ditembak di sini, Jumaat lepas.

Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing berkata perbincangan telah diadakan dengan ketua polis Bintulu yang memberi jaminan akan menyiasatnya.

“Masyarakat Bintulu ingin tempat bermastautin yang aman damai. Jadi saya menggesa supaya pihak berkenaan tarik diri daripada aktiviti kongsi gelap dan menjadi warga yang mematuhi undang-undang,” katanya.

Mangsa yang berusia 32 tahun ditembak di hadapan sebuah pusat hiburan berhampiran Parkcity, dengan senapang patah dan meninggal di hospital.

Tembakan dipercayai dilepaskan individu yang berkereta. Pemilik pusat hiburan itu turut cedera terkena tembakan.

Tiong yang juga Anggota Parlimen Bintulu berkata pusat mesin judi dan hiburan haram juga perlu dipantau atau ditutup.

Semalam Ketua Polis Bintulu, Superintenden Abdul Razak Mohammad mengumumkan pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada persaingan perniagaan.