Spesies baru, terumbu ditemui dalam kajian air dalam

Spesies baru, terumbu ditemui dalam kajian air dalam

SYDNEY, 20 Jan – Ikan toad, span kaca dan batu karang adalah antara beberapa spesies baru yang ditemui dalam penjelajahan terumbu dalam pertama Laut Coral Australia oleh sekumpulan penyelidik Australia dan Jerman.

Siasatan itu, dijalankan menggunakan kenderaan kawalan jauh, juga menemui kehidupan laut yang stabil pada kedalaman 800 meter di Terumbu Osprey, timur laut Queensland.

“Apa yang kami temui adalah ekosistem yang menarik dan stabil di bawah perairan yang masih tidak berubah selama berjuta-juta tahun,” kata Robin Beaman, salah seorang ahli sains Australia yang terbabit dalam projek itu.

“Terumbu Osprey sedalam 1,500 meter itu adalah amat luas. Ia terkenal di kalangan juruselam dan pelancong pengembaraan, tetapi di perairan cetek sehingga 30 meter,” beritahu Beaman kepada dpa.

“Pada 800 meter, perairan adalah sejuk tanpa cahaya yang sampai ke kedalaman ini. Sehingga ekspedisi ini, tidak ramai orang yang tahu apa yang berada di bawah sana.”

Penyelidik menemui batu karang dan span yang unik kepada alam sekitar. Spesies baru brakiopod, haiwan laut seakan-akan serupa dengan kima, ditemui. Dua spesies baru span kaca juga ditemui.

“Span adalah spesies yang biasa ditemui, tetapi span kaca adalah dibuat daripada silica. Ia mengeluarkan silikon daripada air dan membentuk struktur dalaman mereka. Ia adalah sesuatu yang baru kepada sains,” kata Beaman.

“Jika anda melihat mereka di bawah mikroskop, anda boleh melihat spikul kaca kecil dalam daging hidup.”

Koloni besar batu karang emas dan batu karang merah, digunakan dalam pembuatan barang kemas, juga ditemui. Ia tidak ditemui di perairan Australia, kata Beaman.

Beliau berkata mereka juga berupaya merakam nautilus, sejenis sefalopod, dalam habitat semula jadinya.

“Keadaan alam sekitar adalah stabil di sini. Spesies telah hidup selama berjuta-juta tahun,” kata ahli geologi marin.

Data, termasuk specimen, gambar dan gambar video, dikumpul dalam tempoh dua minggu pada 2009.

Analisis hasil dapatan disiarkan pada bulan ini dalam jurnal Marine Biodiversity, selepas kajian selama enam tahun. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA