Spesies Ficus Lyrata kian popular

Spesies Ficus Lyrata kian popular

BEBERAPA spesies tumbuhan liar dari kumpulan pokok jejawi atau ara atau beringin sangat menarik untuk dipilih dan ditanam sebagai tanaman hiasan.

Masyarakat Melayu telah lama mengenali pokok-pokok ini yang dikatakan berkait rapat dengan kepercayaan tahyul dan hantu.

Pokok-pokok dari genus Ficus ini dikatakan menyeramkan kerana bentuk pokoknya yang besar dengan akar-akarnya panjang berjuntai ke bawah itu agak menakutkan.

Pada hakikatnya, pokok-pokok ini sebenarnya tergolong dalam keluarga tumbuhan Moraceae yang dikatakan mempunyai lebih 800 spesies yang terdiri daripada jenis pemanjat, pokok renek, pepohon dan sebagainya.

Salah satu daripadanya yang berdaun cantik adalah spesies Ficus lyrata yang juga dikenali sebagai spesies Ficus pendurata.

Ficus Lyrata sangat cantik ditanam sebagai tanaman solo dalam pasu atau bekas tanaman lain.
Ficus Lyrata sangat cantik ditanam sebagai tanaman solo dalam pasu atau bekas tanaman lain.

Tumbuhan ini juga dikenali sebagai Fiddle-leaf fig kerana bentuk daunnya yang lebar di hujung dan sedikit sempit di bawah itu mirip seperti alat muzik biola sehingga ia turut dikenali sebagai Banjo fig.

Ada juga yang menggelarnya sebagai pokok dada kura-kura kerana urat daun yang timbul itu mirip corak pada dada kura-kura.

Ranting pokok ini yang berbentuk seperti huruf ‘U’ sering digunakan untuk membuat kayu lastik iaitu satu mainan tradisional yang popular dalam kalangan kanak-kanak pada zaman dahulu.

Keindahan pokoknya terletak kepada bentuk pokoknya yang menarik serta bentuk dan tekstur daunnya yang agak tebal dan kesat seperti kulit berwarna hijau tua.

Pokok ini kian popular bagi digunakan untuk menghiasi ruang dalaman dan juga luaran bangunan kerana kecantikan bentuk pokoknya dan kecantikan daunnya dengan pertumbuhannya yang agak tahan lasak.

Selain tumbuhan liar tempatan, ia juga dikatakan banyak tumbuh meliar di kawasan tanah rendah hutan tropika seperti di Afrika barat, Cameroon barat dan juga Sierra Leone.

Pembiakan dan penanaman

Tumbuhan ini mudah untuk ditanam dengan menggunakan anak pokoknya yang tumbuh meliar di keliling pokok induknya.

Kaeadah penanamannya dimulakan dengan mendapatkan anak pokok liar dan memastikan akarnya tidak rosak bagi mempercepatkan proses pertumbuhan pokok baru.

Tumbuhan ini juga dikenali sebagai Fiddle-leaf fig kerana bentuk daunnya yang lebar di hujung dan sedikit sempit di bawah itu mirip seperti alat muzik biola.
Tumbuhan ini juga dikenali sebagai Fiddle-leaf fig kerana bentuk daunnya yang lebar di hujung dan sedikit sempit di bawah itu mirip seperti alat muzik biola.

Tanam sama ada di dalam pasu atau di tanah dengan menggunakan campuran medium tanaman yang terdiri daripada tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai di mana ia sesuai untuk penanamannya.

Penjagaan

Ia sesuai untuk tumbuh subur di tempat yang terdapat banyak cahaya matahari untuk mendapatkan pameran daun yang cantik dan menarik.

Namun ia juga sesuai untuk dipamerkan di kawasan yang sedikit teduh seperti ruang pejabat sebagai hiasan dalaman.

Siram air apabila diperlukan. Biarkan medium tanamannya kering dahulu sebelum menyiramnya semula dan jangan biarkan medium tanamannya digenangi oleh air.

Gunakan baja organik yang boleh membekalkan kandungan humus yang tinggi untuk pertumbuhan pokok yang sihat. Namun baja kimia juga tetap boleh digunakan.

Kaedah pameran

Pada dasarnya spesies Ficus Lyrata sangat cantik ditanam sebagai tanaman solo dalam pasu atau bekas tanaman lain.

Jika ditanam di tanah pertumbuhannya yang boleh mencapai sehingga paras ketinggian 12 meter.

Tumbuhan ini juga dikatakan telah mendapat anugerah Award of Garden Merit daripada Royal Horticultural Society, United Kingdom kerana penampilan pokoknya yang sangat cantik dan menarik.

ARTIKEL YANG SAMA