Spesies jarang dolfin perlu diambil perhatian

Spesies jarang dolfin perlu diambil perhatian

WELLINGTON, 11 Julai – Suruhanjaya Pemburuan Ikan Paus Antarabangsa (IWC) telah meminta New Zealand supaya mengambil tindakan segera untuk menyelamat dolfin paling luar biasa di dunia daripada pupus, menyuarakan “kebimbangan serius” mengenai masa depannya.

Jumlah dolfin Maui, subspesies paling kecil dan paling jarang ditemui di dunia yang hanya ditemui di perairan di luar North Island di New Zealand, telah berkurangan kepada kurang daripada 50 ekor, menimbulkan kebimbangan ia mungkin mencecah tahap yang tidak dapat diselamatkan tanpa sebarang tindakan diambil, termasuk pengharaman ke atas penangkapan di habitatnya.

“Jawatankuasa saintifik IWC meluahkan kebimbangan mengenai status subspesies yang hampir pupus ini,” katanya.

“Langkah pengurusan sekarang berhubung dengan pengurangan tangkapan adalah lebih rendah daripada yang dicadangkan sebelum ini.”

IWC berkata Wellington telah berkata sejak 2013 bahawa ia sedang menyelidik isu berkenaan, namun ia belum mengambil sebarang langkah untuk mengatasinya.

Spesies dolfin Maui yang jarang kini dalam ancaman. - AFP
Spesies dolfin Maui yang jarang kini dalam ancaman. – AFP

Barbara Maas, pakar spesies terancam dengan kumpulan pemuliharaan NABU Antarabangsa, berkata kerajaan New Zealand telah berkali-kali tidak menghiraukan kebimbangan IWC.

“Sains adalah jelas, jika tidak ada apa-apa yang dilakukan, maka dolfin Maui akan lenyap,” beritahunya kepada AFP.

“Apa yang diperlukan adalah tindakan, bukannya lebih banyak penyelidikan. Ia adalah satu penunjuk keburukan besar mengenai New Zealand.”

Maas menganggarkan hanya 42 dolfin Maui yang tinggal, dengan mungkin satu perempat di antaranya terdiri daripada dolfin betina.

Beliau telah meminta pemulauan ke atas industri perikanan New Zealand, berkata ia merupakan satu-satunya cara untuk menguatkuasakan tindakan ke atas isu berkenaan.

Greenpeace berkata New Zealand tidak dapat meneruskan perniagaan berdasarkan imejnya yang “berih, hijau” sementara membenarkan dolfin Maui menjadi pupus.

“Berapa banyak laporan saintifik yang kami perlukan untuk melihat agensi kerajaan melakukan sesuatu,” kata pengarah eksekutif Greenpeace NZ Russel Norman. – AFP