Spesies mamalia baru ditemui di Indonesia

Spesies mamalia baru ditemui di Indonesia

SYDNEY, 20 April (dpa) – Satu spesies mamalia baru yang digelar tikus akar runcing (slender root rat) telah ditemui di Indonesia, menurut saintis Australia hari ini.

Gracilimus radix atau ‘tikus runcing’ itu adalah genus dan spesies baru, kata Kevin Rowe, kurator kanan bagi mamalia di Muzium Victoria.

Rowe bersama sepasukan penyelidik menemui tikus yang tidak didokumentasikan sebelumnya itu di cerun Gunung Gandangdewata, kawasan pergunungan terpencil di Pulau Sulawesi di Indonesia.

“Penduduk tempatan Mamasa mengelar haiwan itu ‘tikus akar’ kerana menurut mereka, ia memakan akar-akar tumbuhan,” kata Rowe.

Haiwan itu yang memiliki berat 40g dan panjangnya kira-kira 30sm – adalah genus baru ketiga dan spesies baru keempat yang ditemui di Gunung Gandangdewata dalam masa beberapa tahun oleh Rowe dan pasukannya.

Analisis genetik menunjukkan relatif rapatnya dengan Gracilimus radix adalah tikus air Sulawesi.

Penyelidikan yang disiarkan minggu ini itu akan muncul dalam edisi keempat Jurnal Mamalogi, menurut muzium.

ARTIKEL YANG SAMA