Spieth berusaha saingi Valspar

Spieth berusaha saingi Valspar

MIAMI, 11 Mac (Reuters) – Jaguh golf nombor satu dunia, Jordan Spieth hanya mampu merenung jauh apabila mungkin akan sekali lagi gagal melepasi cut buat kali kedua dalam kempen 2016 selepas merakam lima di atas par 76 pada pusingan pembukaan Kejuaraan Valspar, awal pagi tadi.

Juara bertahan itu, yang gagal melepasi cut pada Terbuka Northern Trust di Los Angeles bulan lalu, mengalami detik sukar di Resort Innisbrook untuk menamatkan aksi jauh ketinggalan di belakang.

Spieth, yang bergelut untuk bermain dalam keadaan cuaca berangin, membenam enam bogey dan satu birdie dan perlu melakukan sesuatu yang ajaib di pusingan kedua sekiranya mahu meneruskan cabaran hingga hari terakhir.

“Ia adalah hari yang sukar, saya tidak melakukan pukulan di atas green dengan baik,” kata Spieth, yang gagal merakamkan kebangkitan selepas permulaan buruk termasuk lima bogey dan satu birdie dalam tujuh lubang pertama.

Spieth kini ketinggalan sembilan pukulan di belakang Keegan Bradley dan Ken Duke, yang mencatat empat di bawah par 67 untuk berkongsi kedudukan pendahulu pusingan pertama.

Sementara itu, Bradley, yang terlepas empat daripada lima cut terakhir dalam Jelajah PGA, tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan pukulan di atas green semasa pusingan di Padang Copperhead Innisbrook Resort di Palm Harbor, Florida, di mana hanya memerlukan 25 putts.

“Saya benar-benar mempunyai hari yang baik di atas green,” kata Bradley.

Bradley, yang terpaksa beralih kepada putter apabila larangannya berkuat kuasa mulai tahun ini, memukul lima birdie dengan satu bogey untuk empat bawah par 67 yang meletakkannya dalam tiga tie dengan Charles Howell III dan Ken Duke.