Spieth genggam kejuaraan Jelajah PGA

Spieth genggam kejuaraan Jelajah PGA

ATLANTA, 28 Sept (AFP) – Jordan Spieth mencipta epik musim ini apabila merangkul Kejuaraan Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) dan sekali gus meraih bonus Piala FedEX berjumlah AS$10 juta.

Dan lebih manis, kejayaan itu juga membolehkan pemain berusia 22 tahun dari AS ini merampas kembali kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia daripada pemain Australia, Jason Day yang menggenggamnya selama seminggu.

Spieth yang juga Juara Masters dan Terbuka AS, mencatatkan 69 pada pusingan akhir untuk keseluruhan 271, empat pukulan mendahului pencabar terdekat dari Sweden, Henrik Stenson, Danny Lee (New Zealand) dan Justin Rose (England).

Jordan Spieth bergambar bersama trofinya selepas merangkul Kejuaraan Jelajah PGA Amerika Syarikat dan sekali gus meraih bonus Piala FedEX berjumlah $10 juta. – AFP
Jordan Spieth bergambar bersama trofinya selepas merangkul Kejuaraan Jelajah PGA Amerika Syarikat dan sekali gus meraih bonus Piala FedEX berjumlah $10 juta. – AFP

“Meskipun mencatatkan kemenangan, namun ada beberapa percubaan saya tidak membuahkan hasil, saya akan lebih berhati-hati pada masa depan,” Spieth memberitahu wartawan selepas menerima hadiah AS$1.485 juta kerana memenangi kejohanan itu serta bonus AS$10 juta kerana meraih tempat teratas kedudukan FedExCup di East Lake.

“Kemenangan singkat saya minggu ini adalah satu fenomena,” kata Spieth yang pada Sabtu lepas terlepas sembilan green pada pusingan ketiga tetapi masih mampu menyelamatkan setiap par.

Spieth mendominasi golf selama hampir setahun, memenangi Masters dan Terbuka AS bagi major pertamanya, membuat penyudah satu pukulan dalam playoff Terbuka British dan muncul di tempat kedua pada Kejohanan PGA.