Spieth masih ragu-ragu sertai Olimpik

Spieth masih ragu-ragu sertai Olimpik

WASHINGTON, 30 Jun (AFP) – Pemain golf nombor dua dunia, Jordan Spieth masih berasa ragu sama ada akan menyertai Sukan Olimpik Rio apabila golf kembali dipertandingkan dalam temasya itu buat kali pertama dalam tempoh 112 tahun.

Spieth dan ramai lagi pemain golf terkemuka dunia lain akan bertanding dalam Kejohanan Jemputan Golf Dunia Bridgestone di Kelab Country Firestone di Akron, Ohio pada minggu ini.

Tetapi dengan pemain nombor satu dunia, Jason Day dari Australia menyertai beberapa pemain lain menarik diri daripada bertanding di temasya itu berikutan kebimbangan terhadap virus Zika, tentunya topik utama yang akan menjadi bualan ketika pusingan pembukaan itu adalah mengenai di Rio.

“Buat masa ini, saya masih belum pasti,” kata Spieth. “Saya tidak menerima maklumat yang cukup untuk membuat keputusan sama ada pergi atau tidak. Jadi buat masa ini kami mengumpul lebih banyak maklumat untuk saya membuat keputusan pergi atau sebaliknya.

“Apabila saya rasa yakin, saya akan buat keputusan.”

Ranking dunia akan dikeluarkan pada 11 Julai ini dan pemain terbabit mempunyai tempoh sehingga tarikh itu untuk membuat keputusan untuk bermain atau sebaliknya.

Rakan senegara Spieth yang juga pemenang Terbuka Amerika Syarikat dan berada ranking tiga dunia, Dustin Johnson berkata dia berhasrat untuk bermain sementara, pemain ranking empat dunia, Rory McIlroy berkata dia tidak akan ke Brazil disebabkan Zika, yang dikaitkan dengan kecacatan bayi dan beberapa penyakit lain.

ARTIKEL YANG SAMA