Spieth, McIlroy berentap

Spieth, McIlroy berentap

PACIFIC PALISADES, California, 18 Feb (Reuters) – Pemain nombor satu dunia, Jordan Spieth dan penghuni ranking ketiga, Rory McIlroy mengetuai pemain ternama menyertai Terbuka Northern Trust di sebuah venue yang dianggap sebagai salah sebuah lapangan terbaik dalam Jelajah PGA, minggu ini.

Spieth dari Amerika Syarikat (AS) sudah lama mengklasifikasikan lapangan par-71 di Riviera Country Club sebagai antara yang diminatinya manakala McIlroy dari Utara Ireland, bakal membuat penampilan pertamanya di sana.

Meskipun trafik luar biasa dari Los Angeles ke venue Jelajah PGA itu dianggap teruk berbanding yang lain, ia sama sekali tidak mengganggu kualiti pemain ke Riviera setiap tahun apalagi dibuktikan edisi kali ini mampu menarik minat lima pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia untuk menyertainya.

Selain Spieth dan McIlroy, ia turut menarik minat pemain di ranking keenam iaitu Bubba Watson, rakan senegaranya, Dustin Johnson (kelapan) dan pemain England, Justin Rose (ketujuh) untuk memulakan kejohanan bermula hari ini.

“Saya teruja berada di sini,” kata juara major empat kali, McIlroy selepas bermain pro-am.

Spieth ketika memukul birdie pada lubang ke-17 pada pusingan akhir AT & T Pebble Beach National Pro-Am di Pebble Beach Golf. Spieth akan berentap bersama McIlroy pada Terbuka Northern Trust di sebuah venue yang dianggap sebagai salah sebuah lapangan terbaik dalam Jelajah PGA. – Reuters
Spieth ketika memukul birdie pada lubang ke-17 pada pusingan akhir AT & T Pebble Beach National Pro-Am di Pebble Beach Golf. Spieth akan berentap bersama McIlroy pada Terbuka Northern Trust di sebuah venue yang dianggap sebagai salah sebuah lapangan terbaik dalam Jelajah PGA. – Reuters

“Ia sesuatu yang strategik. Kamu mempunyai tempat untuk meletakkan bola di bahagian kanan yang pamah.

“Kamu perlu memastikan yang kamu memukulnya di bahagian kanan greens. Kamu tidak boleh mencari sudut pendek kamu di sini, kamu juga tidak boleh melebihi pin.

“Ia satu lapangan golf yang sebenar dan ia satu keseronokan sebenar untuk bermain sesuatu seperti ini kerana kami tidak berpeluang bermain sebegini sekerap mungkin.”

Juara major dan Terbuka AS, Spieth, yang menyertai Terbuka Northern Trust untuk kali keempat minggu ini, jelas mahu memburu gelaran pertamanya di Riviera.

“Bagi saya, untuk muncul juara di lapangan yang saya anggap sebagai salah satu terbaik di dunia ini, pastinya akan ada matlamatnya,” kata pemain berusia 22 tahun yang terikat di kedudukan keempat di Riviera tahun lalu.

“Ia pastinya sesuatu yang luar biasa. “Lapangan ini memerlukan keseluruhan cara permainan dan kepelbagaian hayunan bola. Ia sebuah lapangan yang menarik yang mana kamu tidak boleh melakukan sebarang kesalahan pukulan.”

ARTIKEL YANG SAMA