Spieth optimis

Spieth optimis

CHASKA, AS, 30 Sept – Jordan Spieth meramalkan kemenangan mampu diraih bersama pasangannya Patrick Reed ke atas pasukan lawan, Justin Rose dan Henrik Stenson pada aksi pembukaan Piala Ryder, manakala Rory McIlroy berkata kemenangan dalam aksi pertama mampu memberikan mereka kelebihan.

Saingan hari ini akan bermula dengan aksi foursomes melibatkan dua wakil Amerika iaitu Spieth dan Reed yang dijadual menentang wakil Eropah, Rose-Stenson pada kejohanan edisi Ke-41, di Hazeltine.

“Kami percaya dengan diri kami sendiri dan kami akan turun beraksi bagi melaksanakan tugasan ini dengan sebaiknya bagi membantu Amerika Syarikat meraih kecemerlangan.

Dalam masa sama kami juga sedar saingan sengit bakal dihadapi pasukan,” kata Spieth.

Sementara itu, McIlroy yang masih segar dengan kejayaannya meraih kejuaraan US PGA mengakui kemenangan pada hari pertama kejohanan mampu menguatkan keyakinan dalam kalangan ahli pasukan Eropah.

Hari ini McIlroy akan bergandingan dengan pendatang baharu dalam kejohanan ini, Andy Sullivan dan mereka akan menentang pasangan dari Amerika Syarikat iaitu Phil Mickelson dan Rickie Fowler.

“Lawan anda adalah dua pemain golf Amerika yang amat popular di luar sana dan saya jangkan saingan kali ini lebih sengit.

“Ini adalah perlawanan penting buat kami yang mewakili Eropah tambahan pula jika kami mampu menewaskan dua pemain popular tersebut ia mampu memberikan kesan besar kepada pasukan lawan,” kata McIlroy. – AFP