Spieth pemain tahunan PGA

Spieth pemain tahunan PGA

LOS ANGELES, 29 Sept  (AFP) – Jordan Spieth merangkul dua lagi pencapaian musim ini, apabila dipilih sebagai Pemain Tahunan PGA dan penerima Trofi Vardon di sini, semalam.

Pencapaian berkenaan meletakkan Spieth, 22, sebagai pemain termuda kedua menerima anugerah itu serentak pada tahun sama, selepas Tiger Woods melakukannya pada tahun 1997 ketika berusia 21 tahun.

Kejayaan itu hadir selepas Spieth berjaya mengatasi gementarnya untuk memenangi Kejuaraan Jelajah PGA pada Ahad lalu, bagi melengkapkan musim cemerlangnya yang turut merangkumi trofi Kejohanan Masters dan Terbuka AS. Anugerah tahunan penutup itu yang diumumkan semalam, diberikan oleh pemain profesional Jelajah PGA kepada mereka yang cemerlang.

Pada saingan Ahad lalu, Spieth berjaya mengumpul pendapatan melebihi AS$22 juta selepas mencatat satu di bawah par 69 untuk memenangi Kejuaraan Jelajah PGA di East Lake Golf Club, Atlanta, untuk sekali gus meraih bonus sebanyak AS$10 juta susulan turut memenangi Piala FedEx.

Jordan Spieth selepas memenangi Kejohanan Jelajah oleh Coca-Cola dan FedExCup di Kelab Golf East Lake di Atlanta. – AFP
Jordan Spieth selepas memenangi Kejohanan Jelajah oleh Coca-Cola dan FedExCup di Kelab Golf East Lake di Atlanta. – AFP

Dan lebih manis, ia juga membolehkan pemain berkenaan merampas kedudukan ranking nombor satu dunia daripada pemain Australia, Jason Day.

Spieth dipilih sebagai Pemain Tahunan PGA selepas mengumpul 180 mata bagi mengatasi 180 pemain lain termasuk pesaing terdekat, Day yang menghimpun 106 mata, Bubba Watson (52), Zach Johnson (46) dan Rickie Fowler (44).

Sementara itu, Trofi Vardon diberikan kepada pemain profesional Jelajah PGA yang berjaya mencatatkan kutipan mata paling rendah pada setiap tahun. Spieth mencatatkan purata 68.911 mata menerusi 91 pusingan musim ini, untuk mengetepikan Day dengan 0.25 selepas pesaingnya itu mencatatkan 69.161 melalui 75 pusingan.

Pembahagian markah berdasarkan kepada sistem kemenangan kejohanan pemfaktoran, kedudukan kewangan rasmi dan purata mata dicatatkan.