Spieth rangkul kejohanan Hawaii

Spieth rangkul kejohanan Hawaii

LOS ANGELES, 11 Jan (Reuters) – Jordan Spieth menepati statusnya sebagai pemain nombor satu dunia apabila merangkul gelaran Kejohanan Golf Juara-Juara Hyundai di Hawaii sebentar tadi dengan kelebihan lapan pukulan selepas pada satu ketika mendapat tentangan awal juara bertahan, Patrick Reed.

Turun beraksi di atas lapangan Kapalua Plantation, Spieth dari Amerika Syarikat (AS) menampilkan permainan sempurna untuk mencatat enam-bawah par 67 untuk menyambar gelaran ketujuh Jelajah PGA, menyamai pencapaian Tiger Woods yang merakam jumlah kemenangan itu sebelum usianya menginjak 23 tahun.

Bintang berusia 22 tahun itu mengetepikan cabaran 32 pemain elit lain dengan membenam tujuh birdie sambil diimbangi satu bogey untuk mengumpul keseluruhan 30-bawah par 262.

Dia muncul pemain kedua menamatkan acara 72 lubang Jelajah PGA itu di bawah catatan 30-bawah par ataupun lebih, mengikuti jejak langkah bintang Afrika Selatan Ernie Els yang menjuarai kejohanan itu pada 2003 dengan catatan 31-bawah par.

Jordan Spieth ketika menjulang piala kejohanan golf tersebut. - AFP
Jordan Spieth ketika menjulang piala kejohanan golf tersebut. – AFP

Reed mengecilkan kelebihan Spieth yang juga rakan senegaranya kepada tiga pukulan selepas membuat permulaan yang baik pada pusingan akhir tetapi dia mula kehilangan rentak dan hanya melakar catatan 3-bawah par 69 untuk ketinggalan jauh lapan mata di belakang Spieth.

Ditanya bagaimana rasanya selepas menyamai rekod yang dicapai oleh Tiger Woods, Spieth menjawab: “Saya fikir tidak ada sebarang sebab untuk dibandingkan. Saya berasa ia terlalu awal baginya.

“Kami (dia dan kedi Michael Greller) sangat teruja mengenai di mana kami berada dalam permulaan kerjaya kami sebagai sebuah pasukan. Apa yang Tiger lakukan, saya tidak dapat membayangkan ia boleh dilakukan lagi namun amat baik rasanya bila berasa dalam kedudukan itu.

ARTIKEL YANG SAMA