Spieth terlepas ranking No.1

Spieth terlepas ranking No.1

EDISON, AS, 30 Ogos (Reuters) – Juara Masters dan Terbuka Amerika Syarikat (AS), Jordan Spieth hanya dapat bertahan sebagai pemain golf nombor satu dunia selama dua minggu.

Ini susulan kegagalan pemain AS itu untuk melepasi had kelayakan Kejohanan The Barclays di sini, semalam.

Kegagalannya itu bermakna bekas penyandang gelaran itu, Rory McIlroy bakal kembali mendapat tempat itu meskipun tidak bertanding pada kejohanan berkenaan.

Dalam aksi pusingan kedua hari ini, Spieth yang mencatatkan 74 pukulan di lapangan Plainfield Country Club pada Khamis lalu, hanya mampu mengurangkannya kepada 73 selepas melakukan lima bogey, satu bogey berganda dan empat birdie.

“Ya, minggu yang benar-benar mencabar. Saya sudah tentu akan mencari jawapan,” kata Spieth yang akan beraksi pada Kejohanan Deutsche Bank di Boston pada 4 hingga 7 September ini, pertandingan kedua daripada empat bagi saingan penutup musim.

Jordan Spieth menunggu pada green kelima pusingan kedua Kejohanan The Barclays di Plainfield Country Club di Edison, New Jersey semalam. – AFP
Jordan Spieth menunggu pada green kelima pusingan kedua Kejohanan The Barclays di Plainfield Country Club di Edison, New Jersey semalam. – AFP

“Saya tidak pasti apa yang akan saya lakukan selepas ini bagi persiapan minggu depan. Tapi saya ada sedikit masa untuk kenalpasti. Kami tidak akan bermula sehingga Jumaat,” katanya.

Selepas hilang ranking posisi nombor satu dalam sekejap waktu, yang menjadi impiannya selama ini, Spieth berkata: “Saya sudah sampai ke kemuncak dan saya tahu akan kembali memilikinya jika saya dapat memenangi kejohanan minggu depan.”

McIlroy pula tidak menyertai saingan The Barclays kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan buku lali yang sebelum ini menghalangnya untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka British miliknya pada bulan lalu.

ARTIKEL YANG SAMA