SPN21 perlu dikemas kini

SPN21 perlu dikemas kini

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Penelitian semula yang dilaksanakan ke atas Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21), tahun lalu, telah memberikan gambaran beberapa kekuatan dan kelemahan.

Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman berkata, gambar itu menjelaskan perlunya mengemas kini sistem pendidikan negara selaras dengan aspirasi Wawasan Negara dan cabaran semasa global khususnya dari aspek pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 yang nampak lebih pantas berubah daripada jangkaan lima tahun lalu.

Berucap pada Majlis Hari Keluarga Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) sempena Sambutan Hari Guru ke-25 Tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, hari ini, beliau berkata usaha pengemaskinian SPN21 memerlukan perubahan terhadap komponen sistem pendidikan itu sendiri.

Oleh itu, tambah beliau, dalam sedikit masa lagi pelbagai pengemaskinian dan pengubahsuaian yang lebih berbentuk reformasi sistem akan dapat dilihat antaranya peningkatan kemahiran, pemilihan dan peranan kepimpinan sekolah; piawaian kemahiran guru dengan penggunaan alat penilaian prestasi guru; rangka kerja pembangunan kapasiti guru-guru; rangka kerja matlamat pembelajaran pelajar; proses penilaian dan intervensi pengajaran, dan lain-lain.

Dr. Haji Junaidi ketika berucap di Majlis Hari Keluarga Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).
Dr. Haji Junaidi ketika berucap di Majlis Hari Keluarga Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).
Antara yang hadir di majlis itu.
Antara yang hadir di majlis itu.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyeru pemimpin dan ahli-ahli PGGMB untuk meningkatkan keupayaan memperluas dan mempelbagaikan kegiatan serta program yang lebih berkesan untuk menarik lebih ramai guru di negara ini supaya melibatkan diri dalam persekutuan ini.

Penglibatan PGGMB ini, tambahnya, sangat relevan untuk memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan khususnya dan perkembangan pendidikan negara amnya.

Menurut beliau lagi, PGGMB memainkan peranan dalam organisasi guru di peringkat serantau dan antarabangsa di samping komitmen dan sumbangan bermakna dalam memperkasa dan memartabatkan profesion perguruan.

Majlis Hari Keluarga PGGMB berkenaan juga telah diteruskan dengan Seminar PGGMB yang menunjukkan kepekaan pihak PGGMB dalam perkembangan pendidikan global terkini terutama peranan profesion seorang guru dalam memahami dan mempelajari amalan dan pendekatan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

ARTIKEL YANG SAMA