SPNB, syarikat Korea Selatan jalin kerjasama

SPNB, syarikat Korea Selatan jalin kerjasama

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) – Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya, SPNB Edar Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Dongkuk Steel Mill Co Ltd, antara syarikat pengeluar produk besi keluli terbesar di Korea Selatan.

Pemeteraian MoU itu membolehkan hak eksklusif diberikan kepada SPNB Edar Sdn Bhd untuk memasarkan dan mengedar produk besi keluaran Dongkuk Steel Mill Co Ltd kepada projek SPNB dan pasaran tempatan.

Dalam kenyataan hari Ahad, SPNB berkata MoU yang dimeterai di Busan, Korea Selatan itu merupakan langkah strategik untuk memastikan SPNB terus berdaya saing dalam menyediakan perumahan mampu milik dan memastikan syarikat tersebut berada dalam tahap tertinggi sebagai penyedia perumahan yang berkualiti.

“MoU ini juga diharap dapat mengelak SPNB daripada terdedah kepada ketidakstabilan pasaran besi keluli tempatan dan mengukuhkan SPNB untuk menjayakan agenda kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

MoU itu juga seiring dengan Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur 2.0 dan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke Korea Selatan pada Disember 2014 untuk meningkatkan lagi pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

ARTIKEL YANG SAMA