Sporting Family berpeluang ke pusingan kedua

Sporting Family berpeluang ke pusingan kedua

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Sporting Family Team mencerahkan peluang kemaraannya ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 dengan catatan kemenangan ketiga berturut-turutnya dalam Kumpulan A malam tadi, kali ini 3-2 ke atas Dagang FT.

Perlawanan di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah berkenaan merupakan perlawanan pertama Tahun 2016 bagi kejohanan anjuran Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei/Muara yang telah pun bermula pada 20 September 2015 yang lalu.

Dalam perlawanan sengit berkenaan, Dagang FT yang memperoleh gol pertama perlawanan iaitu pada minit ke-35 menerusi jaringan Mohd Firdaus bin Abdul Razak.

Tiga minit berselang kedudukan menjadi 1-1 apabila Hazronny bin Mohd Zain menyempurnakan sepakan penalti untuk Sporting Family Team menyamakan kedudukan.

Namun Khairul Hisyam bin Kamis memastikan Dagang FT kekal menerajui perlawanan dengan kelebihan satu gol apabila menyumbatkan gol pada minit ke-39, dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga rehat.

Sporting Family Team menang buat kali ketiga beturut-turut malam tadi apabila mengalahkan Dagang FT 3-2.
Sporting Family Team menang buat kali ketiga beturut-turut malam tadi apabila mengalahkan Dagang FT 3-2.

Sejurus selepas rehat, Sporting Family Team tidak membuang masa memburu gol penyamaan yang segera mereka perolehi hanya seminit berlangsungnya permainan separuh masa kedua itu hasil jaringan Mohd Zairul Azrin bin Md Saifuddin.

Perlawanan dilihat akan berakhir pada kedudukan terikat 2-2 tetapi Asroy Ali Yusof memastikan rekod kemenangan 100 peratus Sporting Family Team dalam saingan Kumpulan A dengan ledakan jaringan kemenangan pada minit ke-88.

Pengurus Sporting Family Team, Abdul Salam bin Abdul Halim ketika ditemu bual Media Permata menyatakan rasa gembiranya atas kemenangan pasukannya yang diketuai oleh Norhamdiney bin Mohd Zain berkenaan dan berharap para pemainnya akan dapat mengekalkan momentum sedemikian dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

Melalui kemenangan itu, Sporting Family Team kini di puncak Kumpulan A dengan sembilan mata selepas sebelum ini mencatat kemenangan 3-2 ke atas IKERAB FC dalam perlawanan pertamanya dan kemudiannya menewaskan Seri Wira FC dengan jaringan 2-1 pada perlawanan keduanya.

Walau bagaimanapun kemenangan itu masih belum dapat memastikan kemaraannya ke pusingan kedua kejohanan sebagai dua pasukan terbaik kumpulan kerana masih memiliki dua lagi baki perlawanan, sementara pesaing lain dalam Kumpulan A masih lagi berpeluang mengejar Sporting Family Team.

Pasukan di tempat kedua Kumpulan A ketika ini, MSN United FC (8 mata) masih memiliki baki satu perlawanan, IKERAB FC (6 mata) di tempat ketiga ada baki satu perlawanan, Seri Wira FC (4 mata) di tempat keempat ada baki satu perlawanan.

Sementara PESERJA FC di tangga terbawah dengan hanya satu mata setakat ini masih belum terkeluar dari persaingan kerana masih memiliki tiga perlawanan lagi untuknya mengumpul 10 mata maksimum jika menang kesemua baki perlawanannya.

Dalam kejohanan ini, hanya dua buah pasukan dari setiap kumpulan (tiga kumpulan) akan mara ke pusingan kedua iaitu sejumlah enam buah pasukan. Enam pasukan itu kemudiannya akan dibahagikan kepada dua buah kumpulan, dengan juara setiap kumpulan akan bertemu di final manakala naib juara kumpulan akan bersaing merebut tempat ketiga. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA