Sporting Family Team tewaskan IKERAB FC 4-3

Sporting Family Team tewaskan IKERAB FC 4-3

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Para penonton di Kompleks Sukan Sungai Kebun dihiburkan dengan pesta tujuh gol dalam pertembungan Kumpulan ‘A’ Liga Bola Sepak Daerah Brunei & Muara 2015 antara IKERAB FC dengan Sporting Family Team yang dimenangi Sporting Family Team dengan jaringan 4-3.

Perlawanan menghiburkan itu menyaksikan IKERAB FC mendahului 1-0 seawal minit ketiga menerusi jaringan Awangku Mohd Hirynoor Rizal bin Pengiran Haji Ahmad namun Sporting Family Team membalas dengan tiga gol sebelum separuh masa pertama berakhir untuk berada di depan dengan jaringan 3-1.

Norhamdiney bin Mohd Zain meledakkan gol penyamaan Sporting Family Team pada minit ke-25, sebelum dia menyusulinya dengan catatan gol kedua peribadinya enam minit kemudian untuk Sporting Family Team pula menerajui perlawanan.

Lapan minit sebelum rehat, hadir gol ketigaSporting Family Team disumbangkan oleh Mohammad Nazree bin Asli.

Separuh masa kedua bermula dengan IKERAB FC memberikan tekanan awal sehingga berjaya membolosi gawang lawannya itu pada minit ke-49 iaitu hanya empat minit selepas rehat menerusi rembatan Abdul Hanan bin Haji Abas.

Sporting Family Team bekerja keras meraih tiga mata sebelum lega menang 4-3 ke atas IKERAB FC dalam saingan Kumpulan A Liga Daerah Brunei & Muara 2015.
Sporting Family Team bekerja keras meraih tiga mata sebelum lega menang 4-3 ke atas IKERAB FC dalam saingan Kumpulan A Liga Daerah Brunei & Muara 2015.

Hafizuddin bin Pengiran Hassanuddin mengembalikan pendahuluan dua gol Sporting Family Team dengan golnya pada minit ke-53 untuk kedudukan 4-2.

Bagaimanapun hanya dua minit selepas itu, Noorsham bin Mohammad Haji Idris mencantas semula pendahuluan itu kepada hanya satu gol untuk merubah kedudukan menjadi 4-3.

Tujuh gol tercipta ketika perlawanan baru berlangsung 55 minit, penonton menjangkakan lebih banyak lagi gol akan dapat mereka saksikan dalam tempoh 35 minit terakhir perlawanan. Namun jangkaan tersebut nyata meleset kerana tiada lagi jaringan mampu dicipta oleh kedua-dua pasukan untuk memuktamadkan keputusan dengan kedudukan 4-3. – Hasrulraizan