SPR Sabah yakin DUN dapat kerusi tambahan

SPR Sabah yakin DUN dapat kerusi tambahan

KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah yakin negeri itu akan mendapat kerusi tambahan susulan kejayaan Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya negeri Sarawak, menurut pengarahnya, Datuk Md Idrus Ismail.

Beliau berkata selain peningkatan populasi yang juga menjadi satu daripada faktor, Sabah juga mempunyai beberapa kawasan yang luas dan memerlukan wakil rakyat sepertimana di Sarawak.

“Sabah sama seperti Sarawak. Negeri ini agak luas. Kita perlukan YB (wakil rakyat) untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan baik. Keperluan untuk menambah bilangan kerusi adalah logik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas taklimat persempadanan semula negeri Sabah di sini, hari ini. Taklimat itu dirasmikan anggota SPR Datuk Md Yusop Mansor.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu. Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak kini mempunyai 82 kawasan DUN berbanding 71 sebelum ini manakala Sabah ketika ini mempunyai 60 kawasan DUN.

Md Idrus berkata keperluan untuk melaksanakan persempadanan semula itu bertujuan memudahkan masyarakat bertemu wakil rakyat di kawasan masing-masing.