Spring Airlines sambung semula penerbangan ke Sabah

Spring Airlines sambung semula penerbangan ke Sabah

SHANGHAI, 15 Okt – Spring Airlines dari China akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan sewa khas dari Shanghai ke Sabah mulai 25 Oktober ini.

Syarikat penerbangan itu memulakan laluan itu pada Julai 2013 dan menikmati populariti apabila muatan penumpangnya dilaporkan melebihi 95 peratus.

Perkhidmatan tersebut kemudian, digantung pada April tahun lepas.

Spring Airline dan Tourism Malaysia semalam secara bersama telah mengadakan satu majlis meraikan penyambungan semula perkhidmatan itu, ia juga dibuat bersempena dengan ‘Lawatan Musim Bunga Minggu Malaysia’.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong.

Images Of Airplanes At Pudong International AirportNazri melahirkan keyakinan bahawa penerbangan sewa khas Shanghai-Sabah ini akan menandakan satu lagi lembaran baru dalam kerjasama pelancongan bersama antara Malaysia dan China.

Beliau juga berjanji bahawa Malaysia akan berusaha untuk membangunkan negara ini menjadi sebuah destinasi pelancongan yang ideal dan sentiasa mengalu-alukan pelancong dari China dan seluruh dunia untuk lawatan dan percutian.

Di bawah inisiatif ‘Satu Lingkaran Satu Jalan yang dicadangkan oleh Presiden China, Xi Jinping, komunikasi dan kerjasama antara Malaysia dan China telah menjadi semakin rapat dan kerap.

Sempena dengan penyambungan semula itu, Spring Airline turut melancarkan “Minggu Perjalanan Sabah Malaysia” dengan kerjasama Tourism Malaysia mulai semalam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA