SPRM akui bekerjasama dengan FBI

SPRM akui bekerjasama dengan FBI

KOTA BAHARU, 24 Julai – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini mengesahkan agensi berkenaan menjalin kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB, dan turut terlibat dengan pengubahan wang haram sebelum membawanya ke Amerika Syarikat.

“Oleh sebab itu, pihak Amerika Syarikat meminta pertolongan dan kita hanya menjalankan kerja sepertimana digalakkan dalam Konvensyen Pencegahan Rasuah Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“(Di bawah konvensyen itu)…mana-mana agensi perlu memberi kerjasama dan sokongan apabila berhadapan dengan jenayah melibatkan beberapa negara,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja ke pejabat SPRM Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof.

Jumaat lepas, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan ia menjalin kerjasama dengan FBI berhubung siasatan terhadap 1MDB.

Bagaimanapun, kerjasama itu hanya ditumpukan kepada kemungkinan perbuatan penyelewengan dan pengubahan wang haram oleh seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB.

Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata kerajaan memandang serius saman sivil berkaitan dana 1MDB yang dikemukakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Beliau berkata perkara itu merupakan tindakan sivil dan bukannya tindakan jenayah, selain ia terhad kepada nama-nama yang telahpun disebutkan dalam dokumen DOJ itu.

Najib berkata kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua badan siasatan antarabangsa. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA