SPRM banteras operasi jual lesen terbang di Sarawak

SPRM banteras operasi jual lesen terbang di Sarawak

MIRI, 18 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 14 individu termasuk tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu siasatan kes menjual lesen memandu dengan nilai antara RM2,500 dan RM2,800 sekeping.

Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman (gambar bawah) berkata, kesemua suspek berumur 19 hingga 50 tahun ditahan di Limbang, Miri, Bintulu dan Sibu dalam satu operasi khas dilakukan sejak 11 Januari lepas.

“Mereka yang ditahan ialah tiga pegawai JPJ, sembilan orang awam yang ingin mendapatkan lesen memandu serta dua orang yang bertindak sebagai orang tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Badrul berkata, tiga pegawai JPJ serta seorang individu bertindak sebagai orang tengah kini ditahan reman selama tujuh hari.

“Siasatan awal SPRM menunjukkan suapan diberikan bagi mendapatkan lesen memandu kenderaan pelbagai kelas tanpa perlu menduduki ujian memandu,” katanya.

p01-4_20160119

Beliau berkata pihak terbabit didapati cuba memperoleh lesen dengan mengemukakan dokumen palsu permohonan pertukaran lesen Brunei ke lesen Malaysia.

“Nilai suapan dianggarkan antara RM2,500 dan RM2,800 bagi satu lesen mengikut kelas kenderaan yang dipohon,”katanya.

Beliau berkata operasi khas itu masih dijalankan dengan ramai lagi individu akan ditangkap dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan lesen terbang.

“Pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta menghubungi SPRM Sarawak di talian 082-467701 atau 082-467702 bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – Bernama