SPRM fokus ce...

SPRM fokus cegah rasuah domestik

KOTA KINABALU, 14 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah memberi penekanan terhadap program pencegahan rasuah domestik melibatkan rakyat di peringkat akar umbi sepanjang tahun ini, kata Pengarahnya Datuk Sazali Salbi.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan melaksanakan beberapa aktiviti termasuk program tinjauan mesra ke kawasan dan jabatan yang dipilih bagi menjayakan operasi pencegahan yang boleh memberi kesan terus kepada rakyat Sabah.

“Sebelum ini kami lebih memfokuskan kepada kes-kes di peringkat mikro atau nasional. Namun pada tahun ini kami akan lebih fokuskan ke arah pencegahan di peringkat ‘bawahan’ agar masyarakat turut terlibat dalam program pencegahan rasuah,” katanya kepada pemberita pada majlis serah dan terima tugas Pengarah SPRM Sabah, di sini hari ini.

Bekas Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Sazali kini menyandang jawatan Pengarah SPRM Sabah, mengambil tugas daripada Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap yang bertukar sebagai Ketua Pegawai Integriti Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Sazali berkata selain itu, pada tahun ini pihaknya telah diarahkan untuk membuat kajian terhadap beberapa jabatan atau agensi yang telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti rasuah di Sabah. – Bernama