SPRM kunjungi pejabat PM, bincang tarikh ambil keterangan

SPRM kunjungi pejabat PM, bincang tarikh ambil keterangan

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri bagi menentukan tarikh mengambil keterangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SPRM berkata pertemuan itu diadakan berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.

“SPRM akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 November lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

Ketika itu beliau berkata SPRM menunggu tarikh untuk menemu bual Najib berhubung isu yang berkaitan dengan siasatan itu.

Najib pada hari yang sama, berkata beliau bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

ARTIKEL YANG SAMA