SPRM masih siasat dana RM2.6 bilion

SPRM masih siasat dana RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan ke atas SRC International dan dana RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri.

Suruhanjaya itu turut menafikan kenyataan beberapa pihak bahawa Ketua Pesurujayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed atau badan itu pernahmengeluarkan kenyataan kedua-dua siasatan berkenaan telah ditutup.

“Sehubungan itu SPRM menekankan, siasatan berkenaan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion masih berjalan,” menurutSPRM dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SRC International merupakan sebuah daripada anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012.

Badan itu berharap “tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai, dan membina persepsi negatif terhadap SPRM.”

SPRM dalam kenyataan itu juga, turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa “dana RM2.6 bilion adalah sumbangan derma daripada pihak penderma dari Timur Tengah dan bukannya dana 1MDB.”