SPRM mungkin rayu keputusan AG lepaskan Najib

SPRM mungkin rayu keputusan AG lepaskan Najib

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin merayu terhadap keputusan Peguam Negara (AG) melepaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada kesalahan jenayah berkaitan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi dan satu pinjaman kerajaan yang dikaitkan dengan syarikat SRC International.

Akhbar The Star memetik Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin sebagai berkata, “kemungkinan besar” suruhanjaya itu akan menimbangkan merayu kepada Peguam Negara bagi menimbang semula keputusannya dalam “kes mudah” itu.

Datuk Bahri antara pengarah SPRM yang dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 7 Ogos lalu. Beliau kemudiannya dikembalikan semula ke jawatan asalnya tiga hari kemudian.

Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, membebaskan pada Selasa Datuk Sri Najib daripada sembarang salah laku jenayah berkaitan dengan kedua-dua siasatan.

Tan Sri Mohamed Apandi berkata beliau mendapati tiada bukti menunjukkan derma tersebut “satu “dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa yang berkaitan dengan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri”.

Peguam Negara itu berkata dokumen menunjukkan wang AS$681 juta ($973 juta) dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib antara 22 Mac dan 10 April 2013 daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan Datuk Seri Najib memulangkan AS$620 juta Ogos tahun yang sama kerana dana itu tidak digunakan.

Tan Sri Apandi juga berkata tidak ada bukti Najib telah menyalahgunakan kedudukannya semasa mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Inc, sebuah dana pencen.