SPRM rampas RM1 juta daripada beberapa saksi

SPRM rampas RM1 juta daripada beberapa saksi

KOTA KINABALU, 11 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merampas wang tunai kira-kira RM1 juta daripada beberapa saksi yang dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

Sumber rapat SPRM berkata tiga daripada saksi berkenaan memulangkan wang berkenaan secara sukarela kepada SPRM semasa memberi keterangan masing-masing.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini. Kesemua me-reka yang dipanggil memberikan keterangan juga memberi kerjasama baik kepada SPRM dalam me-ngendalikan siasatan kes itu,” kata sumber itu di sini, hari ini.

SPRM dijangka memanggil lebih ramai lagi saksi untuk memberi keterangan mereka berhubung siasatan ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat itu tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan berkenaan. Pada 4 Oktober lalu, SPRM menahan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah serta merampas RM114.5 juta daripada mereka kerana didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur. Ia juga adalah kes rampasan wang tunai terbesar dalam sejarah SPRM. – Bernama