SPRM tahan dua pegawai kerajaan di Kota Kinabalu

SPRM tahan dua pegawai kerajaan di Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu, Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan.

Mereka yang berusia 51 dan 54 tahun ditahan di pejabat masing-masing kira-kira 9:15 pagi tadi kerana disyaki memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan itu kepada sanak saudara mereka.

Sumber memberitahu Bernama hari ini bahawa SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM3 juta yang disimpan di dalam peti besi di pejabat seorang daripada pegawai kanan itu.

“Kedua-dua pegawai kanan berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di jabatan kerajaan itu, yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010, telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

“Hasil penyalahgunaan kuasa ini, yang dipercayai bermula sejak 2010 hingga kini, mereka dipercayai mengumpul harta kekayaan melebihi RM50 juta,” katanya. – Bernama