Sproket ungguli cabaran orienteering PEMODA

Sproket ungguli cabaran orienteering PEMODA

Oleh Mohammad Abdullah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) baru-baru ini mengadakan cabaran orienteering bertempat di Taman Rekreasi Perhutanan Berakas yang bertujuan meningkatkan lagi kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan ahli persatuan tersebut.

Dalam pertandingan itu, Pasukan Sproket muncul juara dengan mencatatkan masa 31.45 minit dan mengutip 100 mata manakala Pasukan Fuel Cap yang mengutip 100 mata dalam masa 44.45 minit meraih tempat kedua dan Pasukan Piston yang mendapat 98 mata dalam masa 32.45 minit mendapat tempat ketiga.

Menurut Yang Di-Pertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad, acara tersebut merupakan sebahagian program pembangunan PEMODA yang bukan sahaja bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan, malah mengukuhkan tali persaudaraan dalam kalangan ahli-ahlinya.

Sesi bergambar ramai peserta-peserta cabaran orientering PEMODA.
Sesi bergambar ramai peserta-peserta cabaran orientering PEMODA.

Beliau mengatakan acara orienteering sangat mencabar kerana ia bukan sahaja menggunakan tenaga dan stamina malah mental kalangan peserta sekali gus meningkatkan semangat setia kawan dan berpasukan dalam kalangan ahli PEMODA.

“Acara orienteering ini dapat mengajar ahli bekerjasama dalam satu pasukan untuk menyelesaikan pelbagai masalah sehingga ke garis penghujung. Sepanjang berkonvoi mereka bekerjasama di jalan raya bukan sahaja untuk keselamatan tetapi juga memastikan semua yang berada dalam kumpulan selamat tiba ke destinasi dengan selamat.” Lebih 100 ahli PEMODA menyertai acara itu.

ARTIKEL YANG SAMA