S’pura banteras Zika

S’pura banteras Zika

SINGAPURA, 29 Ogos – Klinik-klinik Singapura hari ini melaporkan lebih banyak jangkitan Zika, membawa jumlah yang disyaki kepada 50, ketika pasukan membanteras nyamuk sedang melakukan penyaringan di tempat merebaknya virus itu.

Pemeriksa daripada Agensi Alam Sekitar Nasional memeriksa rumah-rumah tempat pembiakan nyamuk di daerah timur Aljunied Crescent di mana 41 kes – kebanyakannya pekerja asing di projek pembinaan kondominium, telah disahkan.

Hampir kesemuanya sudah sembuh namun sembilan lagi kes yang disyaki jangkitan virus Zika – kedua-duanya warga tempatan dan pekerja asing – telah dilaporkan hari ini oleh dua klinik komuniti, kata media tempatan.

Kes-kes ini juga berlaku di Aljunied.

“Ia sangat membimbangkan kerana saya ingat Zika adalah sesuatu yang berlaku di sebelah sisi dunia. Namun kini ia berlaku di sebelah kawasan berhampiran saya,” kata pengurus perkhidmatan pelanggan, Josephine Kwan, yang tinggal di kawasan sub bandar yang terjejas, memberitahu AFP.

Papan tanda yang memberi amaran mengenai penularan nyamuk Aedes, pembawa virus Zika di sebuah blok kediaman Aljunied Crescent di Singapura pada 29 Ogos. – AFP
Papan tanda yang memberi amaran mengenai penularan nyamuk Aedes, pembawa virus Zika di sebuah blok kediaman Aljunied Crescent di Singapura pada 29 Ogos. – AFP

Tatkala negara jiran mengambil langkah-langkah untuk menghalang penyakit tersebut daripada merebak dari Singapura, pegawai juga menjalankan operasi pewasapan racun serangga di daerah tersebut.

Zika hanya mengakibatkan gejala ringan bagi kebanyakan orang, seperti demam dan ruam, dan telah dikesan di 58 buah negara terutamanya Brazil.

Namun bagi wanita mengandung, ia boleh menyebabkan mikrosefali, sejenis kecacatan di mana anak damit dilahirkan dengan otak dan kepala yang amat kecil. Kes pertama Zika yang dilaporkan di Singapura pada Mei melibatkan seorang lelaki yang telah mengunjungi Sao Paulo di Brazil awal tahun ini.

Singapura, meskipun memiliki standard penjagaan kesihatan tertinggi di Asia Tenggara, merupakan sebuah pulau tropika yang sering mengalami hujan. Nyamuk membiak pada air bertakung yang biasanya terdapat di tapak-tapak pembinaan, ruang terbuka dan rumah-rumah.

Ia juga merupakan salah sebuah bandar terbersih di Asia namun mempunyai masalah kronik dengan demam denggi, yang juga disebarkan sama oleh nyamuk Aedes yang membawa virus Zika. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA