S’pura dedah pelan tangani perubahan iklim

S’pura dedah pelan tangani perubahan iklim

SINGAPURA, 10 Julai – Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam hari ini mengumumkan Pelan Tindakan Iklim negara itu pada majlis pembukaan bersama Sidang Kemuncak Bandar-bandar Dunia, Minggu Air Antarabangsa Singapura dan Sidang Kemuncak CleanEnviro Singapura 2016.

Menurut satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber-sumber Air dan Kementerian Pembangunan Kebangsaan, Pelan Tindakan Iklim itu diterangkan dalam dua dokumen.

Dokumen pertama bertajuk “Bertindak Hari Ini: Bagi Karbon Efisien Singapura (Take Action Today: For A Carbon-efficient Singapore) menekankan strategi utama yang akan dilaksanakan Singapura bagi mengurangkan emisi gas rumah hijau bagi mengotakan ikrarnya menyokong Perjanjian Paris.

Singapura sudah menetapkan satu matlamat mengurangkan peningkatan emisi gas rumah hijau kepada 36 peratus berbanding paras 2005 menjelang 2030. Negara kota itu juga bekerja keras ke arah menstabilkan emisinya dengan menyasarkan kemuncaknya sekitar tahun 2030. Ini bagaimanapun satu sasaran bercita-cita tinggi, memberikan Singapura pilihan terhad bagi pembaharuan tenaga.

Kenyataan bersama itu mendedahkan bahawa memperbaiki keberkesanan tenaga akan terus menjadi strategi utama Singapura dalam mengurangkan emisi gas rumah hijau dan rancangan itu dibuat untuk memperluaskan skop inisiatif semasa dalam semua sektor, termasuklah penjanaan tenaga, industri, bangunan, pengangkutan, rumah, sisa dan sektor air.

Manakala dokumen kedua bertajuk “Kemapanan Iklim Singapura: Bagi Masa Depan Lebih Kukuh (A Climate-resilient Singapore: For A Sustainable Future) menerangkan bagai-mana Singapura mungkin terjejas oleh perubahan iklim dan strategi menyeluruh kerajaan untuk menanganinya.

Kerajaan Singapura sudah pun mula mengukuhkan pertahanan negara terhadap perubahan iklim. Dalam masa yang sama, memandangkan sains dan ramalan iklim terus berubah, kerajaan Singapura akan terus mengkaji pelan adaptasi bagi memastikan penyelesaian optimum dirancang untuk melindungi negara dan rakyatnya. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA