S’pura galak pembelajaran sepanjang hayat

S’pura galak pembelajaran sepanjang hayat

KUCHING, 18 Okt – Kerajaan Singapura memperkenalkan program ‘SkillsFuture’ iaitu sebuah inisiatif bagi menyediakan rakyatnya peluang menimbang kemahiran dan menggunakannya untuk maju dalam kerjaya dan akhirnya mendapat penguasaan dalam bidang kerja masing-masing.

Ketua Perkhidmatan Awam Singapura, Tan Sri Peter Ong berkata galakan pembelajaran sepanjang hayat merupakan pendekatan negara itu bagi menggalakkan produktiviti menerusi peningkatan berterusan tenaga kerja negara itu.

Beliau berkata demikian pada Temasya Sukan Perkhidmatan Awam Malaysia-Singapura ke-38 dan Program Seminar Bersama Bagi Pemimpin Sektor Awam Malaysia dan Singapura ketujuh hari ini.

Beliau berkata salah satu kaedah meningkatkan produktiviti dalam sektor perkhidmatan awam adalah dengan memanfaatkan teknologi untuk beralih kepada penyediaan perkhidmatan melalui saluran digital.

“Ini membolehkan kami menggunakan sumber tenaga kerja lebih efisyen. Perpustakaan Negara kami kini mempunyai sistem automatik sepenuhnya bagi pinjaman dan pemulangan buku serta kiosk pembayaran secara elektronik untuk perkhidmatan seperti tempahan buku.

Katanya pada awal tahun ini, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) memulakan projek perintis di mana alat sensor dipasang kepada tong sampah bagi mengesan tong yang telah diisi dan yang kosong dan sama ada pengutip sampah sedang menjalankan tugas mereka.

Ong berkata pendekatan ini membolehkan NEA menghantar bilangan tenaga kerja untuk membersihkan tong sampah serta mengurangkan bilangan tenaga kerja kepada kawasan yang tidak memerlukan perhatian.

“Menerusi inovasi ini, kami harap untuk lebih menyesuaikan sesuatu persekitaran dengan memberi perkhidmatan awam berkualiti tinggi menggunakan bilangan sumber tenaga kerja yang lebih kecil,” katanya. – Bernama