S’pura gesa ASEAN bertindak

S’pura gesa ASEAN bertindak

SINGAPURA, 25 Okt (AFP) – Singapura hari ini menggesa rakan-rakan anggota ASEAN untuk mengambil ‘tindakan teguh dan tegas’ ke atas jerebu maut yang masih lagi merebak di seluruh rantau menjelang sidang kemuncak kumpulan itu di Malaysia bulan depan.

Ibu kota itu, salah sebuah negara yang paling teruk terjejas akibat asbut berulang-ulang daripada kebakaran tanah di Indonesia, mengeluarkan gesaan selepas tentera Singapura dan pemadam kebakaran kembali dari misi bantuan antarabangsa di pulau Sumatera Indonesia.

“ASEAN perlu mengambil tindakan teguh dan tegas, melalui kerjasama serantau yang dipertingkatkan, untuk membantu mencegah masalah rentas sempadan yang berulang-ulang ini,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Singapura (MFA) dalam satu kenyataan.

“Singapura akan bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk sepenuhnya mengoperasikan Sistem Pemantauan Jerebu ASEAN, dan inisiatif kerjasama lain,” katanya.

Pengguna jalan raya terpaksa meredah jerebu tebal di Tumbang Nusa, Tengah Kalimantan pada 25 Oktober. Indonesia telah mempersiapkan kapal perang bagi memindahkan penduduk yang terjejas akibat asbut jerebu dari kebakaran hutan yang telah mengakibatkan sekitar 10 orang maut. – AFP
Pengguna jalan raya terpaksa meredah jerebu tebal di Tumbang Nusa, Tengah Kalimantan pada 25 Oktober. Indonesia telah mempersiapkan kapal perang bagi memindahkan penduduk yang terjejas akibat asbut jerebu dari kebakaran hutan yang telah mengakibatkan sekitar 10 orang maut. – AFP

Para pemimpin bagi 10 anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan mengadakan sidang kemuncak di Kuala Lumpur pada 19 November sebelum melanjutkannya untuk bertemu rakan sejawatan mereka daripada rakan perniagaan penting pada dua hari berikutnya.

Agenda sidang kemuncak itu belum lagi dinyatakan umum, namun sumber diplomatik mengatakan isu jerebu mungkin sepertinya akan dibangkitkan oleh negara-negara anggota yang terjejas akibat pencemaran itu.

MFA mengatakan Singapura akan mengambil tindakan perundangan ke atas ‘syarikat-syarikat yang bertanggungjawab ke atas jerebu itu’ dan menyeru Indonesia untuk memberi respons kepada ‘permintaan berkali-kali kami untuk berkongsi maklumat’ ke atas firma tersebut.