S’pura gesa Kongres sokong TPP

S’pura gesa Kongres sokong TPP

SINGAPURA, 6 Nov (Bernama) – Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmCham) menyambut baik pengumuman rasmi Rumah Putih mengenai hasrat Presiden Barack Obama untuk menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) serta pengeluaran teks penuhnya.

“Kami menggesa Kongres untuk menyokong perjanjian perdagangan bersejarah itu yang akan membantu kestabilan serantau, pertumbuhan ekonomi dan hubungan pelbagai hala yang lebih kukuh di antara negara TPP,” kata AmCham dalam satu kenyataan hari ini.

Obama memberitahu Kongres AS pada Khamis yang beliau berhasrat untuk menandatangani perjanjian perdagangan yang melibatkan 12 negara itu.

Pengerusi AmCham Singapura, James Andrade berkata, TPP akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan dalam ekonomi serantau yang akan meningkatkan pelbagai peluang kepada perniagaan Amerika.

Dewan berkenaan, persatuan perniagaan antarabangsa terkemuka di Singapura dengan lebih 5,000 anggota yang mewakili lebih 750 syarikat berkata, kerajaan lain yang tidak terlibat dalam rundingan TPP telah menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan perdagangan itu.

Beliau menamakan negara terbabit sebagai Indonesia, Filipina dan Thailand. Pengarah Eksekutif AmCham Singapura, Judith Fergin berkata: “TPP akan mewujudkan zon perdagangan bebas terbesar dunia.

“Kami yakin TPP akan menghasilkan keuntungan besar kepada semua pihak dan keuntungan ini akan berkembang lagi kerana lebih banyak negara akan menyertai perkongsian ini.”

AmCham berkata, TPP akan dapat memperluas jangkauan antarabangsa barangan dan perkhidmatan Amerika, mewujudkan banyak peluang baharu kepada syarikat dalam perkongsian yang merangkumi 40 peratus keluaran dalam negara kasar global.

ARTIKEL YANG SAMA