S’pura paling celik teknologi

S’pura paling celik teknologi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Singapura adalah negara yang paling celik teknologi di ASEAN berdasarkan satu tinjauan baru-baru ini oleh SkootJobs.com, dilaksanakan menerusi soal selidik ke atas pengguna di Facebook (FB).

Malaysia berada di tempat ke-7 daripada 10 buah negara ASEAN, di hadapan Myanmar, Brunei dan Filipina.

Dalam tinjauan itu, pengguna ditanya sama ada mereka tahu bagaimana membangunkan laman sesawang ringkas, dengan 63.4 peratus pengguna FB di Singapura berkata ya, Thailand sebanyak 59.3 peratus, Laos 58.8 peratus, Vietnam 57.2 peratus, Kemboja 52.4 peratus, Indonesia 50.0 peratus, Malaysia 46.0 peratus, Myanmar 41.6 peratus, Brunei 34.5 peratus dan Filipina sebanyak 25.6 peratus.

Hampir dua pertiga rakyat Singapura berkata mereka boleh membangunkan laman sesawang berbanding sekitar sesuku rakyat Filipina. Thailand, Vietnam dan Laos agak mengejutkan apabila mencatat keputusan baik dengan lebih setengah berkata mereka boleh membangunkan laman sesawang.

Tinjauan ini tidak melihat pada penduduk secara keseluruhannya, tetapi dalam kalangan pengguna FB di setiap negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SkootJobs.com, Asim Qureshi berkata, celik teknologi bukan lagi satu bonus, namun kemahiran asas yang majikan cari.

“Saya bimbang melihat Malaysia berada di bawah beberapa buah negara kurang membangun. Saya rasa perubahan diperlukan dalam sistem pendidikan yang patut melengkapkan pelajar dengan asas teknologi, dan juga memberi keyakinan kepada pelajar untuk belajar sendiri secara umum.

“Saya kerap melihat graduan baru di Malaysia dengan literasi IT yang sangat lemah, digandingkan dengan ketidakinginan untuk belajar tanpa ‘disuap’,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, kedudukan Singapura di atas tidak mengejutkan, berdasarkan sistem pendidikannya yang cemerlang, tetapi beliau menyatakan perasaan terkejut melihat Thailand, Laos dan Vietnam berada tidak jauh di belakang.

Lima belas tahun lalu, membangunkan laman sesawang memerlukan kemahiran pemprograman asas tetapi hari ini, dengan adanya pembina laman sesawang seperti Wix, WordPress dan lain-lain, membangunkan laman sesawang adalah kemahiran yang memerlukan penyelidikan minimum dan keyakinan dalam keupayaan untuk menggunakan komputer.

Tinjauan ini dijalankan oleh SkootJobs.com, laman sesawang pekerjaan yang pantas berkembang di Malaysia, di mana lebih 150,000 pengguna FB dari negara-negara ASEAN telah menyertai soal selidik itu.

ARTIKEL YANG SAMA