S’pura pikat pelaburan $11.5 bilion

S’pura pikat pelaburan $11.5 bilion

SINGAPURA, 3 Feb – Singapura berjaya menarik pelaburan sebanyak $11.5 bilion tahun lalu, melebihi ramalan yang ditetapkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sebanyak $9-11 bilion, menggambarkan keyakinan berterusan syarikat sejagat terhadap keupayaan Singapura sebagai lokasi strategik di Asia.

Sejajar dengan kelemahan permintaan sejagat, jumlah pelaburan tahun ini dijangkakan lebih sederhana iaitu sebanyak $8-10 bilion.

Namun, jumlah pekerjaan yang dijangka dijana tahun ini hasil pelaburan itu setelah dilaksanakan sepenuhnya adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 20,000-22,000 daripada 16,800 tahun lalu.

“Tahun ini, perniagaan amat berhati-hati disebabkan ketidaktentuan sejagat. Tetapi, kita tidak harus lupa bahawa kita berada di rantau yang sedang berkembang. Ekonomi ASEAN masih tumbuh 5 peratus. Walaupun tumbuh lebih perlahan, pertumbuhan China sekitar 6 peratus masih baik dan India pula tumbuh 7 peratus.

“Ramai mempunyai tanggapan bahawa pengilangan di Singapura telah kehilangan daya saingnya, tetapi itu tidak benar,” kata Pengerusi EDB, Dr Beh Swan Gin, dalam taklimat akhbar semalam ketika membentangkan prestasi pelaburan Singapura tahun lalu.

“Ya, kita bukan ekonomi berkos rendah, tetapi ia tidak bermakna kita tidak berdaya saing,” tegasnya.

Jika dilihat dari segi pelaburan aset tetap (FDI), jumlahnya telah meningkat sejak 10 hingga 11 tahun lalu, menggambarkan negara ini masih merupakan lokasi pilihan syarikat asing, terutama dalam pengilangan berteknologi tinggi.

Menjelaskan mengapa sektor pengilangan masih berdaya saing, Pengarah Urusan EDB,   Yeoh Keat Chuan, berkata nilai tambah (VA) sektor pengilangan yang disumbangkan secara langsung kepada ekonomi Singapura masih mencatatkan peningkatan walaupun peratusannya berkurangan kerana sektor lain tumbuh dengan lebih pantas.

Dari segi produktiviti, pertumbuhan daya penghasilan pengilangan sebanyak 3.5 peratus masih mengatasi semua sektor lain di Singapura.

Pengilangan juga menjana pekerjaan yang baik, memberikan gaji median lebih tinggi, sebanyak $4,437 tahun lalu berbanding $3,949 bagi gaji keseluruhannya. – BHS