S’pura rancang perkukuh kedudukan sebagai pusat susun semula hutang antarabangsa

S’pura rancang perkukuh kedudukan sebagai pusat susun semula hutang antarabangsa

SINGAPURA, 20 Julai – Singapura merancang mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat penyusunan semula hutang antarabangsa bagi mengambil kesempatan daripada peningkatan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, kata Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Kewangan),  Indranee Rajah.

Untuk berbuat demikian, beliau mengumumkan bahawa Kementerian Undang-undang telah menerima 17 saranan yang dibuat oleh Jawatankuasa bagi Memperkukuh Singapura sebagai Pusat Antarabangsa bagi Penyusunan Semula Hutang, lapor akhbar Berita Harian.

Saranan-saranan itu adalah dalam tiga bidang utama. Yang pertama melibatkan meningkatkan rangka kerja perundangan bagi penyusunan semula dengan mewujudkan peraturan dan prosedur yang disesuaikan, memperdalam panel hakim dengan hakim pakar insolvensi (ketakmampuan bayar) dan meningkatkan penggunaan proses penyelesaian pertikaian alternatif.

Bidang kedua melibatkan mewujudkan ekosistem mesra penyusunan semula melalui peningkatan ketersediaan pembiayaan menyelamat dan mengukuhkan kerjaya insolvensi di Singapura.

Bidang ketiga ialah menangani jurang tanggapan dengan meningkatkan kesedaran antarabangsa me-ngenai keupayaan penyusunan semula Singapura, yang semakin terlibat dalam pertubuhan insolvensi antarabangsa dan menyediakan kepimpinan pemikiran melalui penyelidikan.

Indranee berkata: “Singapura mempunyai asas kukuh dalam kedaulatan undang undang dan sistem kehakiman yang dipercayai, yang meletak negara ini pada kedudukan lebih baik dalam menawarkan perkhidmatan penyusunan semula hutang.”

Menurut beliau, Singapura menggabungkan lokasi mudah, kecekapan, kepakaran dan rangka kerja undang-undang jelas dan tetap bagi perniagaan untuk menyelaras penyusunan semula melibatkan pelbagai bidang kuasa. – BHS

ARTIKEL YANG SAMA