S’pura sambut ketibaan pesawat tema Star Wars

S’pura sambut ketibaan pesawat tema Star Wars

SINGAPURA, 14 Okt – Lapangan Terbang Changi akan menerima ketibaan pesawat komersial pertama yang dihiasi lambang Star Wars pada 12 November 2015 dan peminat di sini akan berpeluang menaiki pesawat tersebut tanpa perlu membeli tiket.

Pesawat R2-D2TM All Nippon Airways (ANA) akan membuat lawatan khas di sini untuk menemui peminat yang bertuah, menurut Lapangan Terbang Changi dan ANA dalam kenyataan bersama hari ini.

Katanya pesawat pertama dalam siri tiga pesawat bertemakan Star Wars oleh ANA dan The Walt Disney Co (Jepun) Ltd, pesawat R2-D2TM ANA dihias sebagai droid daripada Star Wars dan telah diperkenalkan pada bulan lepas.

“Pesawat khas ke Singapura ini, disewa oleh JTB Jepun, akan membuat persinggahan singkat di Lapangan Terbang Changi, dan acara akan diadakan untuk para peminat pada 14 November 2015,” katanya.

Mulai sekarang hingga 25 Oktober 2015, peminat Star Wars di Singapura boleh memenangi sepasang tiket setiap seorang dengan menyertai pertandingan dalam talian di laman web ANA dan Laman Facebook Lapangan Terbang Changi.

Pesawat ANA dengan karakter droid Star Wars di tarmak lapangan terbang Haneda, Tokyo pada 14 Oktober yang dijadualkan akan meneruskan perkhidmatan ke laluan antarabangsa. – AFP
Pesawat ANA dengan karakter droid Star Wars di tarmak lapangan terbang Haneda, Tokyo pada 14 Oktober yang dijadualkan akan meneruskan perkhidmatan ke laluan antarabangsa. – AFP

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Asia & Oceania ANA, Mitsuo Tomita berkata: “Pesawat R2-D2TM ANA menerima minat yang luar biasa dari seluruh dunia, dan kami gembira dapat bekerjasama dengan Lapangan Terbang Changi untuk berkongsi pengalaman eksklusif ini dengan peminat di Singapura.”

Selain laluan domestik, pesawat R2-D2TM ANA dijadualkan melakukan penerbangan antara Tokyo dan Vancouver di Kanada, Seattle dan San Jose di Amerika Syarikat, Munich, Paris dan Brussels di Eropah, Sydney di Australia, Beijing di China dan Jakarta di Indonesia. – Bernama