Spurs batal dominasi Juve

TURIN, 14 Feb – Harry Kane dan Christian Eriksen membantu Tottenham Hotspur kembali bangkit untuk mengikat Juventus 2-2 di Turin, memadamkan bayangan dominasi Gonzalo Higuain dalam aksi peringkat 16 terakhir pertama Liga Juara-Juara itu, awal pagi tadi.

Higuain meletakkan Juventus, tewas dalam dua final dalam tiga musim kebelakangan ini, dengan dua gol dalam sembilan minit pertama di Allianz Stadium.

Penyerang Argentina itu menembusi gawang Spurs seawal 73 saat dan diikuti dengan jaringan kedua menerusi penalti, menyebabkan skuad Mauricio Pochettino hilang arah.

Tetapi pemain berusia 30 tahun itu terlepas dua peluang keemasan untuk memberikan kelebihan besar Juventus di laman sendiri pada separuh masa kedua, yang menyaksikan penalti keduanya terkena palang.

Kane berjaya mengurangkan defisit Spurs dengan menewaskan penjaga gol Gianluigi Buffon pada minit ke-35. Manakala sepakan percuma bijak Eriksen pada minit ke-70 menjadikan perlawanan kedua di London nanti bertambah menarik.

Pemain perancang Spurs, Christian Eriksen meraikan jaringan penyamaan pasukannya ke atas Juventus di Allianz Stadium. – AP

“Pasukan menunjukkan watak sebenar untuk datang ke sini dan mencabar pasukan seperti Juventus,” kata Pochettino, yang menyalahkan permulaan hambar pasukannya.

“Saya fikir kami tidak fokus dan ia adalah sukar untuk menanganinya dalam tujuh minit pertama. Saya sangat gembira bahawa ia masih terbuka dan kami akan bermain perlawanan kedua di London.”

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri memberi amaran bahawa mereka bersedia untuk memberikan cabaran sekali lagi bagi tempat suku akhir selepas melanjutkan rekod tanpa kalah Liga Juara-Juara di laman sendiri kepada 23 perlawanan.

“Saya tidak fikir perlunya untuk bersedih. Jika seseorang fikir Juventus mampu menang 4-0, mereka sudah silap,” kata Allegri.

“Tottenham mempunyai perlawanan yang hebat dan menterbalikkan jaringan.

“Selepas mendahului 2-0 kami berhenti bermain, tetapi sebahagiannya juga bergantung pada persembahan Tottenham. Mereka adalah pasukan yang sangat fizikal dan teknikal.” – AFP