Spurs belum mengaku kalah

Spurs belum mengaku kalah

LONDON, 26 April – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino masih belum mahu melepaskan gelaran Liga Perdana Inggeris kepada Leicester City walaupun menyaksikan pasukannya mencicirkan mata apabila seri 1-1 dengan West Bromwich.

Keputusan di White Hart Lane itu meletakkan pasukan tangga kedua terbabit, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Leicester tatkala saingan berbaki tiga perlawanan.

The Foxes kini mampu meraih gelaran dengan kemenangan mengatasi Manchester United di Old Trafford pada Ahad – pada hari sebelum Tottenham merentasi London untuk bermain menentang Chelsea di Stamford Bridge.

“Adakah ia sudah berakhir? Tidak, ia belum berakhir, kerana jurang ialah tujuh mata dan ada baki tiga perlawanan,” kata Pochettino. “Memang benar ia sangat sukar, lebih daripada sebelum perlawanan ini. Benar, ia sangat mengecewakan.

“Namun kami perlu terus percaya dan bertarung serta bersedia untuk perlawanan seterusnya dan berharap Leicester akan mencicirkan mata,” kata pengendali dari Argentina itu yang mahu melihat Spurs dimahkotakan selaku juara England buat pertama kali sejak 1961.

“Pada babak pertama, kami bermain sangat baik. Pada separuh masa kedua, kami hilang sedikit kawalan dan membenarkan mereka mendapat keyakinan dan mencipta peluang.

“Apabila anda tidak membunuh permainan, anda akan sentiasa membuatkan mereka percaya,” kata Pochettino selepas pertahanan Albion, Craig Dawson membalas jaringan sendiri pada minit ke-33 dengan gol penyamaan 17 minit sebelum tamat. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA