Spurs jadi penghalang Allegri

TURIN, 12 Feb – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mungkin memecahkan banyak rekod di Itali tetapi pemburuan gelaran Liga Juara-Juara yang belum dijulang pengendali Juventus itu akan diteruskan minggu ini apabila bertemu Tottenham Hotspur, awal pagi Rabu ini.

Allegri, 50, meraikan perlawanan ke-200 sebagai pengendali Juventus dengan kemenangan 2-0 di Florence pada Jumaat lalu, selepas mencapai pelbagai kejuaraan selama tiga setengah tahun di Turin.

Pengganti yang tidak dijangka untuk Antonio Conte pada Julai 2014, yang juga bekas pengendali AC Milan itu, berjaya memenangi tujuh trofi berturut-turut bersama gergasi Turin itu termasuk tiga gelaran terakhir Serie A.

Skuad kebangsaan Itali dalam keadaan kelam-kabut selepas juara empat kali itu tersingkir daripada pusingan akhir Piala Dunia, tetapi Juventus mempamerkan prestasi baik di bawah Allegri.

Nama Allegri bukan sahaja dikaitkan dengan skuad Itali, tetapi turut berpotensi membimbing gergasi Inggeris Chelsea dan Arsenal.

Juara bertahan enam kali itu kini mengharungi saingan sengit di puncak Serie A dengan Napoli untuk merebut gelaran musim ini.

Juventus sudah memenangi 11 perlawanan berturut-turut dalam semua persaingan, dibolosi hanya sekali dalam 16 perlawanan, rekod baru untuk kelab itu.

Tetapi dua kekalahan Liga Juara-Juara dalam tiga edisi terakhir mencemari reputasi Allegri.

Kekalahan 3-1 di tangan Barcelona pada tahun 2015, diikuti tewas 4-1 kepada Real Madrid tahun lalu hampir membuatkan Allegri berputus asa.

“Saya terfikir sama ada saya perlu menamatkan cerita saya bersama Juventus,” kata Allegri ketika itu, tetapi ‘minatnya untuk mengajar’ membuatkan dia meneruskan kerjayanya di Turin.

“Ia adalah keseronokan dalam hidup saya. Saya suka menjadikan pemain lebih baik dan lebih bijak. Saya tahu masih banyak yang perlu saya tingkatkan dan masih banyak yang saya perlu pelajari.” – AFP