Spurs, Liverpool kongsi mata

Spurs, Liverpool kongsi mata

LONDON, 28 Ogos – Hasil jaringan daripada Danny Rose pada minit ke-72 telah menyelamatkan Tottenham Hotspurs bangkit daripada ketinggalan untuk mengutip satu mata berharga selepas seri 1-1 bertemu Liverpool di White Hart Lane, semalam.

Ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan James Milner menerusi penalti di minit ke-43, namun Spurs memberikan saingan yang sengit pada separuh masa kedua dan akhirnya Danny Rose berjaya menyumbat masuk gol penyamaan pada minit ke-72.

Perlawanan tampak seimbang sebelum gol pembukaan Liverpool yang diperoleh selepas Erik Lamela menjatuhkan Roberto Firmino dengan Milner mudah menyempurnakan tugasnya mengatasi Michel Vorm.

Sebelum jaringan itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun dihampakan dengan penyudah yang tumpul termasuk cubaan penyerang Liverpool, Sadio Mane di awal perlawanan.

Sadio Mane (kiri) dan Danny Rose semasa perlawanan Liga Perdana (PL) Inggeris antara Tottenham Hotspurs dan Liverpool di White Hart Lane, London. – AP
Sadio Mane (kiri) dan Danny Rose semasa perlawanan Liga Perdana (PL) Inggeris antara Tottenham Hotspurs dan Liverpool di White Hart Lane, London. – AP

Pada minit ke-19, tindakan Vorm mengasari Mane hampir menghadiahkan penalti kepada Liverpool.

Ketinggalan pada babak pertama, Spurs menggandakan usaha dan ia berhasil pada minit ke-72 menerusi gerakan oleh Erik Lamela dengan Eric Dier melakukan hantaran lintang tepat ke kaki Rose yang disempurnakan menerusi rembatan cantik mengatasi Simon Mignolet.

Keputusan menyaksikan Spurs kekal tanpa kalah selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini. Untuk rekod, pertemuan kedua-dua pasukan pada musim lalu di White Hart Lane berakhir dengan keputusan seri 0-0. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA