Spurs pamer s...

Spurs pamer semangat juara

LONDON, 5 Jan – Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino percaya pasukannya menunjukkan semangat yang diperlukan untuk bergelar juara Liga Perdana (PL) Inggeris selepas memusnahkan harapan pendahulu Chelsea untuk merekod kemenangan ke-14 berturut-turut.

Chelsea sedang mengintai rekod untuk menjadi pasukan pertama mencatat 14 kemenangan berturut-turut semusim, tetapi dua tandukan Dele Alli menghadiahkan skuad Antonio Conte kekalahan 2-0, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan Spurs memanjat ke kedudukan tangga ketiga carta dan walaupun ketinggalan tujuh mata kepada Chelsea, Pochettino percaya mereka bukannya lagi pasukan sama seperti skuad yang tewas kepada Leicester City dalam perebutan gelaran liga musim lalu.

“Saya fikir ia sedikit sukar untuk menjelaskan pada musim lalu mengapa pada akhirnya kami tidak memenangi atau menjulang trofi,” katanya kepada pemberita di White Hart Lane.

“Dalam perlawanan lain saya fikir kami kurang kompetitif seperti hari ini (semalam). Untuk saya, apa yang dimaksudkan dengan kompetitif adalah seperti perlawanan ini. Bekerja keras, tetapi berjuang dalam perlawanan seperti ini.

Conte dan Pochettino berkongsi saat gembira sebelum perlawanan di White Hart lane bermula kelmarin. – AP
Conte dan Pochettino berkongsi saat gembira sebelum perlawanan di White Hart lane bermula kelmarin. – AP

“Anda perlu bermain, menderita, bertarung. Kadangkala anda perlu memberi penguasaan kepada lawan kerana mereka menekan anda dan pada saat itu anda perlu bekerja keras dan mempunyai minda yang kuat.

“Kami perlu gembira dan bangga kerana kami faham apa maksudnya untuk menjadi kompetitif apabila pada satu ketikanya kami tidak boleh bermain seperti kebiasaan.”

Ia adalah kemenangan kelima berturut-turut Spurs dan memastikan hajat mereka membalas dendam untuk keputusan terikat 2-2 di Stamford Bridge Mei lalu, yang memusnahkan pemburuan gelaran, berjaya ditunaikan.

Ditanya jika Spurs kembali dalam pemburuan liga, Pochettino berkata: “Saya fikir buat masa ini ia penting untuk kami mengurangkan jurang.

“Kini perebutan empat teratas amat kompetitif. Saya fikir ia adalah kemenangan sempurna untuk kami memanjat ke tangga ketiga dan merapatkan jurang kepada Chelsea.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA