Spurs tekad pintas Leicester

Spurs tekad pintas Leicester

LONDON, 24 April – Mauricio Pochettino menyatakan bahawa Totenham akan mengambil apa jua kesempatan atas sebarang kesilapan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Leicester untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Anak buah Pochettino mempamerkan aksi cemerlang ketika kemenangan 4-0 ke atas Stoke Isnin lalu selepas Leicester sekadar seri menentang West Ham, dan Spurs merapatkan jurang kepada hanya lima mata dengan empat perlawanan berbaki.

Sekali lagi kelab utara London itu perlu menunggu tamat aksi hujung minggu sebelum beraksi, kali ini di laman sendiri bertemu West Bromwich Albion esok, selepas Leicester melayan kunjungan Swansea malam ini.

Spurs belum tewas dalam enam perlawanan terakhir liga dan keyakinan mereka melonjak selepas empat pemain – Toby Alderweireld, Danny Rose, Dele Alli dan Harry Kane tersenarai dalam pencalonan Pemain Terbaik tahun ini.

Kane turut tersenarai untuk Pemain Terbaik keseluruhan selepas meledak 27 gol musim ini dalam semua pertandingan untuk kelabnya, termasuk dua ketika menentang Stoke minggu lalu.

“Ia adalah persembahan hebat minggu lalu dan keputusan yang baik buat kami, kami amat gembira dengan corak permainan kami dalam beberapa perlawanan terakhir ini,” kata Pochettino.

“Kami perlu terus bekerja keras dan masih berjuang merebut kejuaraan. Semangat kami cukup tinggi sekarang dan persediaan juga berjalan lancar.

“Kini kami perlu menunggu dengan sabar sehingga Isnin. Saya memberi tumpuan kepada usaha untuk memenangi kejuaraan liga.

“Liga Perdana Inggeris adalah liga paling sengit dalam dunia. Memang benar Harry Kane adalah salah seorang penyerang terbaik di dunia dan dia membuktikannya bukan saja pada musim ini, dia sudah masuk musim kedua.

“Kami tidak ragu-ragu lagi yang dia akan mencapai semuanya berdasarkan keazaman dan kegigihannya. Dia membuktikan kemahirannya ketika menentang Stoke Isnin lalu. Saya rasa semua pemain saya layak diberi pujian,” katanya. – AFP