SR Anggerek Desa juara

SR Anggerek Desa juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Sekolah Rendah (SR) Anggerek Desa menang 7-3 ke atas SR Pantai Berakas untuk merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Jaring Bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Pendidikan Swasta Kawasan Brunei IIA, 2016.

Kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, SR Anggerek Desa bukan sekadar muncul juara tetapi turut membolot ketiga-tiga anugerah individu tersedia.

Kaptennya, Dayangku Nur Fakhriah Fasiha binti Pengiran Shamsullizam yang bermain dalam posisi GA (Goal Attack) menerima dua anugerah iaitu Anugerah Pemain Terbaik sumbangan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan dan Penjaring Terbanyak (29 gol) sumbangan Aewon Garment & Embroidery Brunei.

Rakannya pula yang bermain dalam posisi GD (Goal Defence) iaitu Khairiyah Afizah binti Mohd Khairul telah diumumkan selaku penerima Anugerah Penghadang Terbaik sumbangan Aewon Garment & Embroidery Brunei.

Tempat ketiga bagi kejohanan yang telah disertai 11 buah pasukan itu telah dimenangi oleh SR Dato Marsal yang mudah mengalahkan SR Dato Basir dengan jaringan 9-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Juara Bola Jaring Sekolah Rendah Kawasan Brunei IIA, SR Anggerek Desa.
Juara Bola Jaring Sekolah Rendah Kawasan Brunei IIA, SR Anggerek Desa.

Hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan dan kemudiannya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan sijil ialah Pegawai Kluster III, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Hayati binti Udan.

Pada aksi final, perlawanan berlangsung sengit dalam keempat-empat suku masa. SR Anggerek Desa sekadar mendahului 2-0 pada suku masa pertama. Pada suku masa kedua SR Pantai Berakas cuba mengejar sehingga berjaya merubah kedudukan menjadi 1-2 tetapi SR Anggerek Desa membalas dengan dua gol.

Pada kedudukan 4-1 itu SR Pantai Berakas berjaya merapatkan semula kedudukan, kepada 2-4 tetapi pada penghujung suku masa kedua itu SR Anggerek Desa sempat menjaringkan satu gol lagi untuk selesa mendahului 5-2.

Hanya satu jaringan terhasil pada suku masa ketiga, oleh SR Anggerek Desa untuknya melebarkan pendahuluan kepada empat gol iaitu 6-2. Perlawanan menjadi seimbang pada suku masa keempat dan terakhir apabila kedua-dua pasukan masing-masing hanya berjaya menghasilkan satu gol untuk keputusan muktamad 7-3.

Kejohanan tahunan anjuran JPKK, Kementerian Pendidikan itu kali ini dikendalikan oleh SR Anggerek Desa dan telah mendapat tajaan daripada Aewon Garment & Embroidery Brunei berupa pingat untuk pasukan di tempat keempat, pingat untuk Penjaring Terbanyak dan pingat untuk Penghadang Terbaik.