SR Bengkurong juarai bola sepak

SR Bengkurong juarai bola sepak

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Sekolah Rendah (SR) Bengkurong tampil juara dalam Kejohanan Peringkat Akhir Bola Sepak Sekolah-Sekolah Rendah Brunei IV setelah berjaya menumpaskan SR Sengkurong dengan keputusan jaringan yang berakhir 3-2, hari ini.

Tempat ketiga bagi kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan itu menjadi milik SR Jerudong, yang menang 1-0 ke atas SR Awang Haji Mohd Yusof (AHMY) Katimahar dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Kampung Wasan, Awang Mat Noor bin Ma’arof sambil diiringi Penolong Ketua Unit Jasmani, JPKK, Mohamad bin Haji Mohd Saat.

Sementara itu bagi Anugerah Pemain Terbaik bagi kejohanan yang mengambil tempat di Padang SR Panglima Barudin Limau Manis itu pula telah dimenangi oleh pemain SR Bengkurong, Awang Mohd Noorsyakirin bin Razak.

Juara Bolasepak SR Brunei IV 2016, SR Bengkurong bersama Awang Mat Noor (Belakang, enam dari kiri) dan AJK Kejohanan.
Juara Bolasepak SR Brunei IV 2016, SR Bengkurong bersama Awang Mat Noor (Belakang, enam dari kiri) dan AJK Kejohanan.

Separuh masa pertama perlawanan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. SR Bengkurong yang mula-mula mendahului menerusi jaringan daripada sepakan penalti Awang Mohd Hamizan bin Haji Ali Hamzah, sebelum disamakan oleh SR Sengkurong melalui sepakan percuma cantik Awang Mohd Muqri Izzuddin bin Mohd Forizan.

Awang Mohd Noorsyakirin membawa SR Bengkurong ke depan semula selepas rehat tetapi hanya untuk seketika apabila giliran Awang Adi Hamizan bin Mat Azlan pula mempamerkan kehebatan sepakan percumanya untuk mengikat kembali kedudukan, kini 2-2.

Namun di hujung perlawanan, SR Bengkurong bernasib baik dihadiahkan sepakan penalti kedua dalam final berkenaan, dan Awang Mohd Nur Aidil Faeezuddin bin Mohd Sambri menyempurnakannya dengan baik untuk gol ketiga dan kemenangan pasukannya.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan dikendalikan oleh Sekolah Rendah Panglima Barudin Limau Manis selaku tuan rumah kejohanan itu disertai oleh sembilan buah sekolah rendah kawasan Brunei IV.

ARTIKEL YANG SAMA